EKONOMI

MATRADE GESA SYARIKAT PERABOT TEMPATAN TINJAU PELUANG DI KOREA SELATAN

09/10/2019 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat perabot Malaysia meninjau peluang perniagaan di Korea Selatan.

Pesuruhjaya Perdagangannya di Seoul, Norharliza Yunos berkata ramai pembeli dari Korea berminat dengan produk perabot Malaysia berikutan reka bentuk yang moden dan berkualiti tinggi serta mutu kerjanya yang unik.

"Malaysia terkenal dengan perabot kayu dan kayu getah dan ini dianggap sebagai kelebihan dari segi daya saing kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Matrade menerajui penyertaan 10 syarikat Malaysia di Pameran Perabot dan Kerja-Kerja Perkayuan Antarabangsa Korea (KOFURN) di Seoul dari 27 Ogos hingga 2 Sept.

Syarikat Malaysia dipadankan oleh Matrade dengan 24 pembeli Korea melalui 72 pertemuan perniagaan di Pavilion Malaysia.

"Ramai pembeli yang berpotensi kagum dengan produk kami dan syarikat Malaysia perlu memanfaatkan persepsi positif ini dalam kalangan pembeli Korea," kata Norharliza.

Korea Selatan menduduki tangga ke-15 sebagai destinasi eksport perabot Malaysia, dengan nilai eksport sebanyak RM102.4 juta pada tahun lepas.

Pada separuh pertama 2019, eksport perabot Malaysia ke Korea Selatan berjumlah RM47.8 juta, dengan pertumbuhan yang ketara sebanyak 28 peratus didaftarkan untuk perabot dapur kayu dalam tempoh sama.

Norharliza berkata pertumbuhan eksport perabot Malaysia sejajar dengan sasaran Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) untuk mencapai eksport perabot bernilai RM12 bilion menjelang 2020.

Menurutnya, pejabat Matrade di Korea Selatan mempunyai pandangan dan hubungan untuk memudahkan padanan pengeluar perabot Malaysia dengan pembeli di negara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan