OKT terjun dari tingkat tiga bangunan mahkamah [ 15m ago ]

Kekurangan tenaga buruh jejas eksport sarung tangan getah Malaysia

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Gambar fail.
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Unjuran eksport sarung tangan getah Malaysia pada tahun ini telah disemak semula kepada 188 bilion unit daripada 195 bilion unit sebelum ini berikutan kekurangan tenaga buruh pada masa ini, kata Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low Jau Foo.

Angka itu, bagaimanapun, meningkat daripada 172 bilion unit dieksport pada tahun lepas.

"Kami terpaksa mengurangkan produktiviti disebabkan kekurangan tenaga buruh; justeru untuk tempoh enam bulan pertama 2019, eksport sarung tangan getah Malaysia merosot sebanyak 4.5 peratus hanya kerana kami tidak mempunyai pekerja yang mencukupi.

“Oleh itu, kami meminta kepada kerajaan untuk membenarkan kami mengambil lebih ramai pekerja, selain memastikan pematuhan sosial seperti ditetapkan oleh peraturan Kesatuan Eropah (EU)," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan MARGMA di sini malam ini.

Antara lain, keperluan pematuhan sosial EU termasuklah mengurangkan kerja lebih masa, yang akan menyebabkan kekurangan sarung tangan getah.

Low berkata persatuan itu telah membuat rayuan kepada EU untuk memberi peserta industri Malaysia sekurang-kurangnya 18 bulan untuk mematuhi standard pematuhan sosial.

"Kami akan mematuhinya, itu janji kami kepada dunia," katanya.

Tahun lepas, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai US$1.36 bilion ke Eropah.

Low berkata MREPC mengusahakan Kod Etika untuk industri produk getah, memberi tumpuan kepada beberapa isu utama berkaitan hak dan kebajikan pekerja untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

Diharapkan kod itu akan memupuk disiplin dalam kalangan syarikat produk getah dan memastikan pematuhan mereka kepada etika dan amalan terbaik dari segi pematuhan sosial.

Pada tahun ini, anggaran permintaan global terhadap sarung tangan getah sebanyak 300 bilion unit, bernilai US$4.95 bilion (RM19.88 bilion).

Malaysia adalah pengeluar terbesar dunia dan pengeksport utama sarung tangan getah, menyumbang 63 peratus daripada bekalan global, diikuti Thailand (18 peratus), China (10 peratus) dan Indonesia (3.0 peratus).

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu