Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 58m ago ]

CCFB bincang pelan tindakan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 9 Okt -- Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (CCFP) yang mengadakan mesyuarat kedua hari ini dengan memberi tumpuan kepada pelan tindakan bagi melaksanakan intipati Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu.

Kementerian Luar (Wisma Putra), dalam satu kenyataan, berkata majlis tersebut secara prinsipnya bersetuju dengan pelan tindakan yang memperincikan gerak kerja serta isu keutamaan yang perlu dibuat oleh kementerian itu selaras dengan iltizam yang dizahirkan dalam kerangka tersebut.

Selain itu, pelan tindakan itu juga akan dijadikan sebagai asas dalam merangka Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri untuk tempoh 2021-2025.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat itu juga menyentuh mengenai sambutan ulang tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 pada tahun 2020 serta isu-isu yang menjadi keutamaan dan akan diketengahkan oleh Malaysia pada tahun depan.

"Majlis Perundingan bersetuju secara dasarnya dengan cadangan isu yang akan menjadi keutamaan Malaysia pada 2020 di peringkat PBB seperti pengukuhan semangat 'multilateralisme' terutamanya pembaharuan PBB ke atas Majlis Keselamatan PBB.

"Malaysia akan turut menyertai pelbagai program sambutan yang lain seperti Sidang Kemuncak Beijing+25 dan Persidangan Kajian Kawalan Senjata Nuklear (NPT) 2020," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat kali kedua semenjak penubuhan CCFP diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 10 Okt 2018 itu dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut kenyataan itu, CCFP turut melantik empat ahli baharu iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Datuk Amran Mohamed Zin, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Pelbagai Hala, Datuk Nadzirah Osman dan Datuk Hsu King Bee yang merupakan bekas Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Geneva dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Jakarta.

Majlis Perundingan tersebut merupakan satu manifestasi komitmen kerajaan untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan masyarakat madani sebagai salah satu pemegang taruh utama, khususnya dalam usaha untuk merangka dasar luar negara secara lebih telus, terbuka dan terangkum.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu