Hilang IC: wanita buat laporan palsu elak didenda - polis [ 1h ago ]

WBG tawar beli PLUS sehingga RM3 bilion

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Widad Business Group (WBG) membuat penawaran untuk membeli konsesi PLUS Expressways Bhd dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan milik Khazanah Nasional Bhd melibatkan pertimbangan tunai sebanyak RM1.5 bilion, atau 100 peratus konsesi milik Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai sebanyak RM3 bilion.

Cadangan pengambilalihan itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya, dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Okt, kata konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu itu dalam kenyataan hari ini.

Lebuh raya yang terlibat dalam konsesi PLUS Expressways Bhd ialah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth Kulim dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

"Sekiranya Widad berjaya mengambil alih syarikat konsesi, kumpulan itu akan mengurangkan caj tol semasa sebanyak 25 peratus hingga 40 peratus.

"Ini sejajar dengan manifesto kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat, yang kami sokong sepenuhnya. Kami juga mahu membantu kerajaan dengan mengecualikan bayaran pampasan yang belum dijelaskan kerajaan kepada PLUS bernilai RM338.5 juta setakat 31 Dis, 2018, " kata Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan tol bernilai RM 2.7 bilion yang ditanggung oleh kerajaan susulan pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam.

Kumpulan juga telah mencadangkan untuk memberi diskaun 50 peratus tambang tol semasa pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

Muhammad Ikmal juga berkata kumpulan itu akan berusaha untuk menaik taraf kemudahan sedia ada, melaksanakan teknologi risikan buatan bagi meningkatkan pengurusan lebuh raya dan lalu lintas, selain jaminan tiada sebarang pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan itu.

Kumpulan ini telah mengenal pasti rakan strategik/pelabur strategik global bagi membiayai pengambilalihan yang dicadangkan itu, selain dana dalaman kumpulan dan pelan pengumpulan dana melalui sukuk berjangka sederhana dan terbitan ekuiti.

Muhammad Ikmal ialah Pengasas dan Peneraju Kumpulan Widad Business, syarikat korporat yang menyediakan pekerjaan kepada lebih 1,500 orang di seluruh negara.

WBG diperbadankan pada 2002, bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat ke atas kontraktor Bumiputera berkaliber untuk berkhidmat dalam pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang pesat.

Kumpulan itu telah berkembang dan mempelbagaikan kegiatannya ke dalam pengurusan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan bersepadu, perkhidmatan mekanikal dan elektrik, sistem automasi bangunan, pengurusan tenaga, pembangunan hartanah, pendidikan, perkhidmatan media & ICT, perhotelan, akuakultur dan minyak & gas.

Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji cadangan untuk mengambil alih PLUS Malaysia Bhd jika ia memenuhi tuntutan negara.

Firma ekuiti swasta yang berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital, juga menyatakan minat untuk membeli PLUS Malaysia Bhd melibatkan pertimbangan sebanyak RM3.5 bilion.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Riza Ridzuan pada 6 Okt bekata bahawa syarikat itu tidak berhasrat menjual aset strategiknya kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, KWSP, yang memiliki 49 peratus pegangan dalam PLUS, berkata ia akan mempertimbangkan menjual sahamnya di PLUS Malaysia Bhd, untuk tawaran yang baik.

Khazanah memiliki 51 peratus PLUS dan KWSP, 49 peratus. Ini berikutan pengambilalihan pada 2011, dalam urus niaga bernilai RM32 bilion.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu