Polis tumpas geng 'Rantau', tahan lima lelaki Indonesia [ 21m ago ]

Kilang e-waste haram dihentikan operasi serta-merta

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Tan Chen Choon
JOHOR BAHRU, 10 Okt -- Sebuah kilang sisa elektrik dan eletronik (e-waste) di Simpang Renggam diarah memberhentikan operasi serta-merta setelah didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk beroperasi secara haram dan melakukan pencemaran udara, Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Tan Chen Choon berkata tindakan itu diambil setelah satu operasi penguatkuasaan bersepadu dijalankan ke atas kilang berkenaan melibatkan pelbagai agensi, selepas mendapat aduan daripada masyarakat setempat mengenai pencemaran.

“(Kilang) itu beroperasi tanpa sebarang lesen, mahupun lesen daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) ataupun pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tindakan yang diambil JAS adalah di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.

“JAS telah menyita kesemua sisa elektrik dan elektronik yang terdapat di premis berkenaan dan segala peralatan kawalan pencemaran. Kertas siasatan juga telah disediakan oleh pihak JAS untuk tindakan perundangan susulan,” kata beliau.

Sementara itu, Majlis Daerah Simpang Renggam turut memaklumkan Tenaga Nasional Bhd untuk memotong bekalan elektrik manakala Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) mengambil tindakan menghentikan bekalan air ke premis berkenaan.

“Jabatan Imigresen pula menahan seramai 107 pendatang asing yang didapati bekerja di premis kilang berkenaan,” tambah Tan lagi.

Beliau mengingatkan semua pemilik premis sisa elektrik dan eletronik di seluruh negeri ini supaya mengambil perhatian dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasaan akan dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang melanggari undang-undang.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu