Marcos juara kejohanan sulung Tour of Peninsular [ 4h ago ]

Turunkan cukai dan naikkan subsidi adalah bercanggahan - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata permintaan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai dan pada masa yang sama menaikkan subsidi, tidak mungkin dapat dilaksanakan.

Beliau berkata harus ada keseimbangan antara cukai dan subsidi agar kerajaan dapat menjana pendapatan dan memberi subsidi.

“Saya baca di surat khabar bahawa rakyat inginkan cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi. Kami tidak boleh beri cukai yang lebih rendah dan menaikkan subsidi.

"Perlu ada keseimbangan antara kedua-duanya. Kami cuba mengurangkan cukai, namun kerajaan mesti mempunyai wang.

"Jika nak beri subsidi, kerajaan perlu ada wang, jika turunkan terlalu rendah, kami tidak mempunyai wang dan tidak boleh memberi subsidi," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai jangkakan dalam Belanjawan 2020, yang dibentangkan di Parlimen esok.

Dr Mahathir berkata demikian apabila merujuk kepada senarai harapan pra-Belanjawan 2020 yang dijalankan oleh media yang mendapati responden mahukan cukai yang lebih rendah dan subsidi yang lebih tinggi, terutama barangan keperluan termasuk beras, tepung, minyak masak dan lain-lain.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa kerajaan sedang cuba untuk mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada orang kaya, yang merupakan prinsip dalam sistem percukaian Malaysia, manakala subsidi hanya diberikan kepada yang layak.

"Subsidi tidak diberikan kepada semua orang, ia mesti diberikan kepada kumpulan yang layak.

"Dalam kalangan B40 sendiri terdapat mereka yang tidak memerlukan subsidi, dan kami akan mengkaji secara teliti siapa yang harus menerima subsidi daripada kerajaan," katanya.

Sementara itu, mengenai tawaran untuk pengambilalihan konsesi lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu menilai semua cadangan dengan rapi.

"Terdapat banyak cadangan untuk mengambil alih PLUS. namun kerajaan perlu memastikan wang kerajaan digunakan dengan bijak, bukan hanya kerana kita mahu melindungi kerajaan atau menentang pembida tertentu.

"Ia mesti dinilai dengan baik dan jika tawaran sektor swasta itu baik, kami akan mempertimbangkannya," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu