Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 20m ago ]

Belanjawan 2020: SME Corp harap peruntukan RM2 bilion PKS dikekalkan

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Syed Hussein Al Habshee
Oleh Kenny Teng Khoon Hock

GEORGE TOWN, 10 Okt -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) berharap kerajaan yang memperuntukkan RM2 bilion bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Belanjawan 2019, akan mengekalkan jumlah yang sama pada Belanjawan 2020 bagi memperkasa syarikat-syarikat itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata, dengan mengambil kira situasi ekonomi semasa, SME Corp tidak menjangka wujud penambahan peruntukan dalam belanjawan itu.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang merendahkan unjuran pertumbuhan global 2019 kepada 3.2 peratus pada Julai lepas, hari ini dilapor berkata ia akan mengurangkan unjuran selanjutnya pada minggu depan.

“Dengan mengambil kira situasi semasa hutang negara, saya tidak menjangka sebarang peruntukan tambahan untuk PKS. Apa yang saya harapkan daripada kerajaan ialah tidak mengurangkan (peruntukan) belanjawan itu -- tidak ada satu sen pun (akan) dikurangkan daripada apa yang telah diberikan pada belanjawan lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kongres PKS Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada 4.5 peratus tahun ini, namun, kelembapan ekonomi global akan memberi kesan kepada negara.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen esok.

Syed Hussein berkata PKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebahagian besar atau 98.5 peratus kewujudan perniagaan di negara ini.

“PKS merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi kita, menyumbang secara ketara kepada keseluruhan ekonomi termasuk 38.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 17.3 peratus eksport pada 2018,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mengiktiraf peranan PKS dan pembangunan usahawan menerusi pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Julai lepas.

Beliau berkata dasar itu menyasar untuk merangsang sumbangan PKS sebanyak 50 peratus kepada KDNK nasional, 90 peratus pekerjaan di negara ini dan 30 peratus eksport sambil berhasrat meningkatkan perolehan koperasi daripada RM40.3 bilion kepada RM60 bilion pada 2030.

“Di bawah dasar itu, kerajaan menyasar menempatkan Malaysia menjadi antara 25 negara utama dalam Indeks Keusahawanan Global, Institut Pembangunan Keusahawan Global,” katanya.

Beliau berkata ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-58 daripada 137 negara.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu