Dua cedera dalam insiden tembakan di Ottawa [ 19m ago ]

Pulau Pinang bersiap hadapi banjir kilat

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
BUKIT MERTAJAM, 10 Okt -- Pulau Pinang kini melalui fasa kritikal dalam menerima taburan hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di 26 lokasi sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sejak 8 Okt lepas.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Shukri Muslim hari ini berkata saban tahun antara September dan November, pertembungan hujan lebat berpanjangan serta fenomena air laut pasang adalah punca utama banjir kilat di negeri itu.

"Purata hujan di tanah besar (Seberang Perai) anggarannya kira-kira 2,300 milimeter (mm) setiap tahun. Sekarang ini hujan bagi September baru 1,300 mm, ini bermakna kita mempunyai kira-kira 1,000 mm lagi (air hujan) yang akan turun pada tempoh dua hingga tiga bulan ini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata JPS akan memohon peruntukan berjumlah RM 1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan 13 (RMK-12 dan RMK-13) untuk projek mitigasi banjir di seluruh Pulau Pinang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Arahan tempoh berjaga-jaga telah dikeluarkan kepada pihak berkuasa dalam tempoh enam minggu ini kerana taburan hujan yang turun pada 8 Okt lepas adalah luar biasa dengan bacaan 200 mm dalam masa satu jam.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata kebanyakan kawasan yang terjejas akibat banjir kilat ini melibatkan kawasan perumahan lama yang kedudukannya lebih rendah dari aras laut.

Tambahnya, kerajaan tempatan sedang membina rumah pam di Auto City, Juru yang juga sebahagian daripada projek mitigasi Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjit kilat pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM79.7 juta bagi projek mitigasi banjir yang telah bermula pada tahun 2018 dan dijangka siap pada Mac 2020.

Ia termasuk projek pembinaan rumah pam, naik taraf sistem parit dan sungai, naik taraf jalan, pemasangan pam dan sebagainya di Lorong Cantek 8 dan 10, Jalan Bagan 1, Taman Sentul, Jalan Perusahaan Prai, Lorong Binjai, Jalan Binjai, Jalan Tembikai, dan beberapa lagi kawasan kerap berlaku banjir kilat.

"MBSP turut memohon RM62 juta untuk projek mitigasi banjir berskala kecil dan sederhana, daripada Kerajaan Persekutuan sempena pembentangan RMK-12 bagi tempoh tahun 2020 hingga 2025,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu