Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 21m ago ]

Orang ramai dipelawa sertai Pasukan Bomba Bantuan

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUANTAN, 10 Okt -- Orang ramai yang memiliki kemahiran berkaitan tugas penyelamatan dipelawa menyertai Pasukan Bomba Bantuan (PBB).

Ketua Cawangan Pengurusan Pasukan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Zahar Abdullah berkata PBB setakat ini, mempunyai malim gunung sebagai anggota yang berkemahiran melakukan kerja menyelamat di kawasan pergunungan.

"Kita mahu lebih ramai mereka yang berkemahiran dalam memberi pertolongan cemas untuk menyertai pasukan ini kerana setiap bantuan yang diterima amat diperlukan semasa situasi kecemasan.

"Mereka yang bekerja termasuk yang bekerja sendiri atau tidak bekerja boleh menyertainya selagi tidak mempunyai kekangan untuk berada dalam keadaan siap siaga selama 12 jam di balai bomba yang ditetapkan," katanya.

Mohd Zahar berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan dan Pentauliahan PBB Peringkat Zon Timur Siri 1/2019 di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 107 anggota PBB dari Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan menerima pentauliahan mereka selepas tamat latihan yang bermula 29 Sept lalu.

Mohd Zahar juga memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk menambah 440 anggota PBB pada masa depan yang setakat ini, jumlah keseluruhan PBB di seluruh negara ialah 2,313 orang dengan 89 daripadanya ditempatkan di Pahang.

Sementara itu, Penolong Pegawai Operasi JBPM Pahang Ismail Abdul Ghani memaklumkan untuk tahun ini setakat semalam, pihaknya menerima 17 panggilan palsu selain 2,617 panggilan kebakaran dan 2,882 panggilan penyelamatan.

Katanya, untuk tempoh yang sama, enam kematian dicatatkan di Pahang akibat kebakaran.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu