KBS bakal salur dana khas kepada Hafizh Syahrin [ 4m ago ]

Jurang nisbah kaunselor dengan penduduk terlalu besar - Dr Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
PUTRAJAYA, 10 Okt -- Jurang nisbah seorang kaunselor berdaftar bagi setiap 3,716 penduduk masih terlalu besar untuk mendepani masalah sosial yang semakin kompleks, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehingga 31 Ogos tahun ini, hanya terdapat 8,773 orang kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor di negara ini, katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dr Wan Azizah berkata peningkatan krisis komuniti seperti penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pengabaian orang tua, pembuangan bayi dan pedofilia menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

"Saya melihat kaunselor dan perkhidmatan kaunseling sebagai satu keperluan yang penting kepada masyarakat dan berharap agar perkhidmatan kaunseling dapat dipertingkatkan dan digunakan secara optimum oleh masyarakat," kata beliau semasa melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Mengambil contoh berita penahanan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang disyaki merogol budak perempuan berumur empat tahun yang diasuh ibunya pada Julai lepas akibat terpengaruh dengan video lucah, beliau berkata peranan kaunselor diperlukan dalam menguruskan kes seumpama itu.

"Kejadian seperti ini adalah amat mendukacitakan. Isu sebegini memerlukan intervensi sosial selain daripada tindakan undang-undang yang perlu diambil," katanya.

Dr Wan Azizah berkata masyarakat juga perlu perlu mengubah stigma terhadap perkhidmatan kaunseling.

Beliau berkata perkhidmatan kaunseling juga perlu bermula di peringkat awal lagi, iaitu intervensi di peringkat pelajar sekolah dan di rumah oleh ibu bapa.

Ini kerana, katanya Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017 oleh Kementerian Kesihatan yang menyasarkan skop kesihatan remaja menunjukkan tiga penyakit mental utama di kalangan remaja di sekolah ialah perasaan cemas (39.7 peratus), depresi (18.3 peratus) dan stress (9.6 peratus).

"Sehubungan itu, ibu bapa, ahli keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang lebih dewasa memainkan peranan penting untuk sama-sama membantu mengenal pasti remaja yang memerlukan perkhidmatan kaunseling," katanya.

Bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada rakyat, Dr Wan Azizah berkata Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan Psychological Support Team (PST) sejak 2016.

Katanya ahli PST yang kini seramai 1,037 orang terdiri daripada sukarelawan profesional iaitu kaunselor berdaftar atau individu yang mempunyai kelayakan akademik berkaitan dan berdaftar dengan Bahagian Psikologi dan Kaunseling, JKM.

"Saya menyeru supaya lebih ramai profesional yang berkelayakan agar berdaftar sebagai ahli PST untuk meneruskan usaha murni menyampaikan perkhidmatan kaunseling kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga telah mewujudkan Lay Kaunselor dalam komuniti iaitu sistem sokongan sosial yang lazimnya dilakukan dalam situasi tidak formal atau santai dalam bentuk sesi bimbingan khususnya dalam komuniti.

"Lay Kaunselor ini adalah orang barisan hadapan yang berperanan untuk membantu mendengar masalah dan memberikan sokongan emosi kepada rakan dalam komuniti," katanya sambil menambah sehingga 31 Julai lepas, seramai 9,115 Lay Kaunselor telah diberikan latihan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu