Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 22m ago ]

Bekas CEO 1MDB tidak terkejut Istana bertanya tentang Jho Low

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MBD) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak terkejut apabila Istana Terengganu bertanya tentang karakter ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam perkara berkaitan Terengganu Investment Authority (TIA) Berhad, yang kemudiannya dinamakan semula sebagai 1MDB.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau tidak terkejut apabila pihak istana membangkitkan tentang perkara itu dalam pertemuan yang diadakan pada 30 Jun, 2009, kerana Jho Low telah memberitahunya supaya menjangkakan perkara itu.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan kes membabitkan dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa terdapat kebimbangan yang ditimbulkan pada 2009 bahawa Jho Low, telah memberi gambaran yang salah bahawa dia adalah penasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Muhammad Shafee: Semasa wakil istana membangkitkan tentang perkara itu, adakah kamu berada di sana?

Shahrol Azral : Ya

Muhammad Shafee: Adakah kamu perjelaskan kepada mereka?

Shahrol Azral: Tidak, kerana ia tidak memeranjatkan saya bahawa pihak Terengganu akan menghubungi untuk bertanya… sebelum pertemuan itu, Jho Low sudah beritahu saya supaya menjangkakan sesuatu seperti ini.

Muhammad Shafee: Apabila Jho Low beritahu kamu begitu, kamu tidak terfikir untuk mencari sebabnya, kerana kamu adalah CEO?

Shahrol Azral: Saya melihat ini sebagai perkara berkaitan pemegang kepentingan untuk diselesaikan antara pemegang kepentingan. Saya yakin Jho Low mewakili satu daripada pemegang kepentingan khas iaitu Datuk Seri Najib, pada masa itu.

Muhammad Shafee: Jadi, pada masa itu, kamu menyangkakan dia mewakili YDPA bagi Terengganu manakala Najib pula bagi kerajaan Persekutuan.

Shahrol Azral: Tidak, Jho Low mewakili Najib.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu