Beberapa jalan di ibu negara dilanda banjir kilat [ 23m ago ]

Jho Low bertindak sebagai 'consigliere' Najib - saksi

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Shahrol Azral Ibrahim Halmi
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai ‘consigliere’ atau penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrol Azral, 49, menggambarkan Jho Low sebagai ‘consigliere’, perkataan Itali yang maknanya dalam kamus Merriam-Webster sebagai “seseorang yang menjadi penasihat atau kaunselor kepada ketua organisasi jenayah”.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri berkenaan melibatkan dana 1MDB.

Semasa disoal Muhammad Shafee sama ada Jho Low mewakili Sultan Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong ketika itu) atau Najib dalam hal ehwal Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral, berkata Jho Low mewakili Najib pada masa itu.

Muhammad Shafee: Sebagai apa?

Shahrol Azral: Sebagaimana dalam perkataan Itali? Consigliere. Dia (Jho Low) adalah orang yang memastikan segalanya berjalan lancar untuk Najib.

Muhammad Shafee: Sebagai apa? Perdana menteri atau menteri kewangan?

Shahrol Azral: Sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pemegang saham khas TIA, yang kemudiannya dinamakan sebagai 1MBD.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu ini seolah-olah apa yang dikatakan oleh orang Itali sebagai ‘soprammobile’ atau hiasan meja, hanya untuk hiasan. Kamu setuju?

Shahrol Azral: Tidak setuju.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.

-- BERNAMA






       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu