Penutupan jalan sempena acara Tour of Peninsular Malaysia 2019 [ 3m ago ]

Aspire Flagship lancar Penilaian Kesediaan Pensijilan Halal dalam talian pertama

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Anak syarikat Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Aspire Flagship Sdn Bhd melancarkan Aspire Rating, Penilaian Kesediaan Pensijilan Halal (CRA) dalam talian pertama untuk menangani salah tanggapan mengenai kesukaran mendapatkan pensijilan Halal.

Ketua Pegawai Operasi Aspire Flagship, Zukarnine Shah Zainal Abidin berkata sistem itu dibangunkan untuk membantu syarikat menilai keupayaan dan kesediaan mereka ke arah penggunaan Pensijilan Halal Malaysia.

“Pada asasnya, penilaian itu menggunakan set soal selidik yang telah ditetapkan berdasarkan kepada peraturan, garis panduan dan keperluan lain berkaitan dengan aspek halal dan toyyiban seperti kebersihan, keselamatan, kualiti dan kesihatan.

“Sektor yang diliputi oleh sistem itu adalah makanan dan minuman, kosmetik dan farmaseutikal,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran sistem itu, di sini, hari ini.

Menurut Zukarnine Shah, selepas penilaian itu selesai, syarikat-syarikat akan dapat memahami dengan lebih baik lagi tentang jurang halal semasa dan mengenal pasti bahagian yang boleh ditambah baik menerusi sistem skor dan laporan yang dihasilkan komputer.

CRA akan menawarkan perkhidmatan penilaian mampu milik bagi perniagaan halal yang terdiri daripada syarikat multinasional hingga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan bayaran RM200 bagi pasaran domestik dan US$200 bagi pasaran antarabangsa untuk menggunakan sistem itu.

Sistem Aspire Rating dibangunkan oleh Aspire Flagship yang ditanda aras berbanding pelbagai sistem penilaian kredit lain, standard halal dan sistem pengurusan ISO yang dibentuk untuk memenuhi atau menampung permintaan dan keperluan perdagangan dan industri perdagangan halal global.

Ia menyediakan kepada syarikat-syarikat yang menyertai integriti halal dan instrumen jaminan, pengetahuan, pandangan dan garis panduan patuh Syariah bagi memenuhi permintaan pasaran untuk produk atau perkhidmatan yang dijamin halal.

“Kami percaya dengan menggabungkan teknologi dalam membangunkan produk halal, kita akan dapat menarik pembeli antarabangsa dan menyediakan pemahaman yang lebih baik mengenai industri halal,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu