Jadual khas kehadiran untuk Ahli Parlimen kerajaan atasi ketidak hadiran [ 7m ago ]

Sarawak bakal bina satu lagi pusat rehabilitasi haiwan liar

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Zolkipli Mohamad Aton
Oleh Zaphne Philip dan Nik Nurfaqih Nik Will

KUCHING, 10 Okt -- Sarawak bakal mempunyai sebuah lagi pusat hidupan liar, yang kedua di negeri berkenaan bagi menampung keperluan rehabilitasi haiwan liar.

Pusat rehabilitasi “Sibuti Wildlife Sanctuary” yang akan dibina di Sibuti, Miri akan menampung kesemua spesies haiwan yang dilindungi dan terancam yang diselamatkan di kawasan utara negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB), Zolkipli Mohamad Aton berkata setakat ini kesemua haiwan yang diselamatkan di seluruh negeri berkenaan dihantar terus ke Pusat Hidupan Liar Matang, di Kuching.

“Jadi bayangkan, haiwan yang kita selamatkan di Miri kita perlu hantar ke Kuching yang jauhnya melebihi 1,000 kilometer.

“Selain masa perjalanan lama yang menyebabkan stress kepada haiwan, ia juga menelan kos yang tinggi, jadi sememangnya pembinaan pusat ini di Sibuti satu keperluan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembinaan pusat hidupan liar ini telah diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan peruntukan sejumlah RM2 juta.

“Untuk makluman, kita juga ada membuat permohonan untuk mewujudkan pusat rehabilitasi di Sibu dan di Lawas, selain Sibuti, semasa perancangan RMK-11, tetapi kerajaan bagi keutamaan untuk satu dahulu, iaitu di Sibuti, dua lagi tempat ini dalam perancangan.

“Sekarang kita ada cuma di Matang,” katanya.

Beliau berkata penambahan berkenaan menjadi satu keperluan berikutan pusat hidupan liar sedia ada di Matang yang beroperasi sejak 1996 sudah tidak cukup ruang untuk menempatkan haiwan liar yang memerlukan pemuliharaan.

Beliau berkata selain pusat ini, ada satu lagi tempat rehabilitasi haiwan liar di Sarawak, khas untuk Orang Utan iaitu Semenggoh Wildlife Centre yang ditubuhkan pada 1972 dan berperanan sebagai pusat pemuliharaan spesies berkenaan bagi tujuan penyelidikan, pembelajaran persekitaran dan eko-pelancongan.

“Buat masa sekarang, Orang Utan yang diselamatkan tetap akan ditempatkan dahulu di Matang Wildlife Centre, setelah haiwan itu menunjukkan sifat semi liar serta boleh berdikari, ia akan di pindahkan ke Semenggoh Wildlife Centre,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan pusat-pusat berkenaan yang kini berada di bawah SFC dijadikan tempat eko-pelancongan dan sumber pendapatan bagi menampung kos penyelenggaraan, namun ia bukan tempat seperti mana zoo.

“Pusat ini adalah tempat pemuliharaan yang melibatkan proses kuarantin, melatih dan melepaskan haiwan namun tetap dipantau agar haiwan-haiwan ini boleh membiak,” katanya.

-- BERNAMA


















       Berita Utama Terdahulu