YBN gesa utamakan mahasiswa B40, hentikan sistem merit untuk penempatan di kampus [ 10m ago ]

Terengganu susun 100 program dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Ariffin Deraman
SETIU, 10 Okt -- Seratus program disusun dalam kalendar pelancongan Terengganu tahun depan dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongannya, khusus bagi memastikan sasaran untuk menarik kehadiran lima juta pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2020 tercapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata ia sekali gus akan dapat merangsang perkembangan ekonomi negeri serta rakyat tempatan.

Beliau berkata jumlah itu lebih banyak berbanding hanya 40 program tahun ini, dan menurutnya program-program itu akan terus ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya memberi impak maksimum kepada pelancongan negeri.

"Seratus program yang kita masukkan dalam kalendar (pelancongan negeri) tahun depan ini tidak termasuk aktiviti di daerah-daerah kerana mereka juga mempunyai kalendar tersendiri," katanya selepas merasmikan kursus pemandu pelancong berkemahiran alam semula jadi tahap dua, di sini hari ini.

Merujuk kepada penganjuran kursus hari ini, Ariffin berkata ia bertujuan melahirkan lebih ramai ahli dalam bidang berkenaan yang mempunyai lesen sah dan berdaftar, sebagai persediaan untuk menerima lebih ramai pengunjung dalam bidang eko-pelancongan sempena TMT 2020.

"Alam semulajadi adalah tarikan utama pelancong ke negeri ini selain keunikan Pasar Payang, Taman Tamadun Islam dan beberapa lokasi lagi. Oleh itu kita amat memerlukan pemandu pelancong bertauliah yang benar-benar pakar dan mahir dengan selok-belok hutan, pantai dan pulau agar mereka dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong,” katanya.

Ariffin berkata selain itu kursus berkenaan juga bertujuan mendedahkan para peserta mengenai keselamatan dan pengendalian situasi sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

Untuk rekod Terengganu mempunyai seramai 93 pemandu pelancong bertauliah yang terdiri dari 42 pemandu pelancong bandar (lesen biru) dan 51 pemandu pelancong pelancong alam semula jadi (lesen hijau).

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu