Polis Kemboja selamatkan wanita warga Thailand ditahan sebagai tebusan oleh 4 rakyat Malaysia [ 1h ago ]

Penghuni Azalea Apartments Sri Penchala dipindahkan kerana tanah runtuh

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Seramai 65 orang penghuni Azalea Apartments di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala di sini terpaksa dipindahkan berikutan kejadian tanah runtuh di belakang apartmen itu awal pagi ini.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Mohd Zuhair Faisal Zulkifli berkata mereka yang menghuni 24 unit kediaman di apartmen itu telah dipindahkan sementara ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail.

Beliau berkata pusat gerakan operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada tengah malam tadi.

“Selepas menerima panggilan seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat TTDI digegaskan ke tempat kejadian.

“Setibanya dilokasi kejadian didapati berlaku tanah runtuh di belakang kawasan apartmen terbabit melibatkan kawasan berukuran 30x5 meter dan setinggi 6 meter.

“Anggota bomba kemudian telah mengarahkan semua penghuni meninggalkan kediaman mereka setelah mendapati bangunan itu tidak selamat diduduki,” katanya ketika dihubungi.

“Pihak polis akan membuat kawalan keselamatan di sekitar lokasi kejadian manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu