'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 11m ago ]

Kerajaan Persekutuan dijangka membuat pinjaman kasar sebanyak RM135.2 bilion pada 2019

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Kerajaan Persekutuan dijangka membuat pinjaman kasar pada tahun ini sebanyak RM135.2 bilion atau 8.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, sebanyak 94.5 peratus atau RM127.7 bilion adalah pinjaman dalam negara manakala baki RM7.5 bilion melalui terbitan luar pesisir, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, terimaan kasar digunakan untuk pembiayaan semula hutang prinsipal adalah berjumlah RM83.3 bilion manakala pembiayaan defisit sebanyak RM51.8 bilion.

Pembiayaan semula hutang prinsipal yang matang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah RM43.4 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) (RM24 bilion), bil Perbendaharaan (RM14 bilion), Sukuk Perumahan Kerajaan (RM1.6 bilion) dan pinjaman luar pesisir berjumlah RM0.3 bilion.

Menurut laporan itu, kerajaan akan terus mendapatkan sumber pembiayaan daripada pasaran domestik bagi mengukuhkan pasaran modal terutamanya dengan meningkatkan terbitan instrumen patuh Syariah dalam mempromosikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang utama.

"Keperluan untuk melaksanakan pinjaman luar pesisir bergantung kepada kos berpatutan dengan tahap risiko yang boleh diterima serta situasi pasaran kewangan global.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK dengan melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berterusan," kata laporan itu.

Selain itu, pada tahun 2020, defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3.2 peratus daripada KDNK daripada 3.4 peratus pada 2019 dan terus berkurangan kepada purata 2.8 peratus dalam tempoh jangka masa sederhana.

Hutang Kerajaan Persekutuan mencatat RM799.1 bilion atau 52.7 peratus daripada KDNK iaitu rendah berbanding had siling hutang sebanyak 55 peratus.

“Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang berkembang pesat secara relatifnya mempunyai kedudukan hutang dan berada di bawah had yang ditetapkan," kata laporan itu.

Kerajaan juga akan menambah baik proses dan memperkukuhkan prosedur dalam melaksanakan pengurusan hutang yang lebih cekap dan teratur.

“Usaha tersebut dapat menyokong jangkaan positif pasaran dan memastikan kedudukan hutang negara terurus dalam jangka masa panjang," kata laporan itu.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu