Malaysia kekal terajui ekonomi Islam global [ 14m ago ]

Defisit fiskal dijangka berada pada 3.2 peratus daripada KDNK tahun depan

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Kerajaan menjangkakan defisit fiskal meningkatkan sedikit kepada 3.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding sasaran awal 3.0 peratus seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019, demikian menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Peningkatan ini disebabkan oleh keputusan strategik kerajaan bagi mengukuhkan aktiviti ekonomi domestik sebagai langkah segera untuk menyokong dan mengekalkan momentum pertumbuhan berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan, menurut laporan itu.

Sehubungan itu, defisit keseluruhan pada 2020 dijangka lebih rendah berbanding 3.4 peratus dengan konsolidasi fiskal kekal pada trajektori dan kedudukan hutang pada paras terkawal.

Menurut laporan itu, hasil kerajaan Persekutuan dijangka mencatatkan RM244.5 bilion atau 15.2 peratus daripada KDNK pada 2020, manakala kutipan hasil cukai adalah lebih tinggi iaitu RM189.9 bilion dan hasil bukan cukai RM54.6 bilion.

Langkah segera yang bakal diambil termasuklah peruntukan suntikan tambahan iaitu 0.2 peratus daripada KDNK menerusi perbelanjaan pembangunan untuk merancakkan semula pelaburan awam melalui pembentukan modal bagi mengukuhkan potensi ekonomi jangka masa panjang, kata laporan tersebut.

Peruntukan ini akan digunakan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek terutamanya projek pengangkutan dan perhubungan berimpak tinggi seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 2 serta Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Laporan itu menjelaskan projek pembangunan berskala kecil juga akan dilaksanakan seperti menaik taraf sekolah daif, klinik, loji rawatan air dan pembetungan serta kemudahan infrastruktur jalur lebar di pinggir bandar.

Projek tersebut dijangka mempunyai kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi ke arah mencapai pembangunan inklusif.

Di samping itu, peruntukan juga disediakan bagi pelaksanaan pelan rasionalisasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Tabung Haji serta komitmen bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi untuk SRC International Sdn Bhd.

Menurut laporan itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada program yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan seterusnya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu