Organisasi Malaysia kurang mengaplikasikan 'awan' sebagai strategi teras - kajian [ 9m ago ]

Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan garis lapan cadangan kepada kerajaan

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan menggariskan lapan cadangan kepada kerajaan untuk memperkukuh pengurusan dan meningkatkan ketelusan hutang dan pendedahan liabiliti bersandarkan pada prinsip tadbir urus yang baik, berhemat dan pemantauan berterusan.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, antara cadangan tersebut ialah semakan semula dan penilaian jaminan kerajaan (GG) untuk menentukan jaminan yang memerlukan bantuan.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan kerajaan mengemukakan kedudukan hutang dan pendedahan liabiliti kepada Parlimen secara berkala bagi membolehkan pemantauan pembayaran balik hutang, pembayaran faedah dan tahap hutang, kata laporan tersebut.

Kerajaan turut dicadangkan supaya memantapkan pelaporan liabiliti seperti GG, perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta dan Pembinaan BLT Sdn Bhd secara spesifik dalam anggaran belanjawan tahunan mangikut projek dan kementerian bagi mencerminkan obligasi sebenar projek berkenaan.

Laporan itu berkata kerajaan juga diusulkan untuk membuat penetapan had perundangan pentadbiran ke atas GG, di samping pelaporan terperinci mengenai komitmen sebenar bayaran khidmat hutang dan peratusannya berbanding hasil.

Jawatankuasa tersebut turut mengusulkan kerajaan mengenalkan kod butiran khusus dalam anggaran belanjawan tahunan untuk komitmen kewangan lain seperti PPP, PFI atau bayaran pindahan berkaitan hutang dan liabiliti.

Kerajaan harus membuat pemantauan berterusan terhadap nisbah jumlah hutang dan pendedahan liabiliti kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), defisit kerajan persekutuan kepada KDNK serta bayaran khidmat hutang berbanding hasil, menurut laporan itu.

Di samping itu, ia turut mencadangkan kerajaan menganalisis tahap hutang Malaysia berbanding negara setara terutama di rantau ASEAN dan negara maju lain secara berkala.

Laporan berkenaan menjelaskan jawatankuasa tersebut merupakan satu daripada enam jawatankuasa pilihan yang diumumkan pada Disember 2018 selaras dengan usaha untuk menambah baik dan mengukuhkan fungsi institusi Parlimen serta memastikan wujud aspek semak dan imbang.

Keanggotaan jawatankuasa ini terdiri daripada ahli Parlimen pihak kerajaan dan pembangkang, dengan tugas utama termasuk meneliti belanjawan persekutuan dan perkara yang boleh mempengaruhi perlaksanaan belanjawan, kata laporan itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu