'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 1h ago ]

FinTech Islam perlu tingkatkan prestasi

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Malaysia mengekalkan kedudukan utamanya sebagai pasaran kewangan Islam termaju di dunia, namun usaha perlu ditingkatkan bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam FinTech Islam.

Laporan Tinjauan Ekonomi 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan menyebut FinTech Islam dalam negara berpotensi berkembang pesat walaupun masih di peringkat awal.

“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan kesedaran dalam kalangan pihak berkepentingan dan permintaan tinggi daripada pelanggan serta persekitaran kawal selia yang kondusif dalam pasaran utama kewangan Islam,” menurut laporan itu.

Sehingga kini, beberapa inisiatif telah diambil seperti menerbitkan garis panduan “FinTech Regulatory Sandbox” sebagai dokumen rujukan.

“Rangka kerja ini bertujuan menyediakan persekitaran kondusif untuk penggunaan teknologi kewangan bagi memupuk inovasi dalam perkhidmatan kewangan yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor kewangan,” katanya.

Laporan tersebut juga berkata inisiatif ini juga membolehkan inovasi FinTech Islam dan konvesional diuji dan digunakan dalam persekitaran sebenar, di bawah parameter khusus dan jangka masa tertentu.

“Elemen sokongan lain dalam ekosistem FinTech yang lebih luas juga disediakan untuk manfaat pemain FinTech dalam kewangan Islam termasuk Financial Technology Enable Group, Komuniti Alliance of FinTech dan Hab Global FinTech Islam,” katanya.

Ia juga berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia melalui Panduan Ekonomi Digital Islam (IDE) telah menyediakan peluang kepada pemain digital Islam bagi mengembangkan kapasiti dan meningkatkan permintaan produk dan perkhidmatan.

“Dikenali sebagai Mi'yar, ia berfungsi sebagai rujukan untuk syarikat pemula niaga, syarikat modal teroka dan pemain ekosistem sokongan yang ingin meneroka dan memahami komponen IDE.

“Ini termasuk modal teroka Islam, operasi perniagaan serta produk dan perkhidmatan dalam perspektif Halal atau patuh Syariah,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu