Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 28m ago ]

Galakan R&D oleh kerajaan tepat pada masa untuk industri minyak dan gas

Tarikh kemaskini: 15/10/2019
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Galakan kerajaan untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) tepat pada masanya ketika industri minyak dan gas global (O&G) diunjurkan merosot pada 2020, berikutan lebihan bekalan disebabkan kedudukan ekonomi global yang perlahan, menurut Malaysia Petroleum Resources Corporation.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Ja'afar berkata perang perdagangan US-China semakin kusut manakala sektor minyak utama perlukan teknologi yang berkos efektif dan rendah karbon.

"Sebagai penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) memainkan peranan utama untuk menggerakkan negara mencapai status berpendapatan tinggi.

"Berdasarkan keupayaan mendalam untuk memenuhi keperluan sepanjang rantaian nilai O&G, industri ini sudah melaksanakan kepelbagaian di luar Malaysia bagi memperoleh projek di Asia Pasifik dan melepasinya," katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata galakan ke atas R&D oleh kerajaan akan terus mengukuhkan pertumbuhan industri OGSE.

"Inisiatif seperti Pejabat Inovasi setempat akan mengukuhkan lagi industri sedia ada untuk memanfaatkan teknologi.

Pejabat Inovasi berpotensi menjadi saluran yang efektif bagi syarikat OGSE tempatan untuk bukan sahaja membangunkan daya saing, malah mengembangkan DNA R&D, yang membolehkan mereka memenuhi keperluan masa depan industri O&G," kata Mohd Yazid.

Beliau berkata peningkatan 5.3 peratus peruntukan bajet untuk Agenda Bumiputera kepada RM8 bilion pada 2020 merupakan peluang untuk pertumbuhan firma OGSE yang dimiliki Bumiputera di Malaysia.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu