Keadaan kesihatan ratu irama Bollywood, Lata Mangeshkar stabil [ 14m ago ]

Belanjawan 2020: Pembangunan sektor pelancongan dorong pertumbuhan syarikat penerbangan

Tarikh kemaskini: 15/10/2019
NILAI, 15 Okt — Belanjawan 2020 yang turut menumpukan kepada pembangunan sektor pelancongan Malaysia dijangka akan turut mendorong pertumbuhan pendapatan syarikat penerbangan di negara ini seperti AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes berkata unjuran itu dibuat melalui sasaran kehadiran 30 juta pelancong menerusi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

“Ia merupakan belanjawan yang amat baik ... ia memberikan peluang yang amat bagus bagi mempromosikan pelancongan, kedatangan lebih ramai pelawat akan menghasilkan keuntungan yang besar kepada Malaysia.

“Sudah tentu dengan sasaran ketibaan pelancong melalui Tahun Melawat Malaysia 2020, secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan syarikat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program A Level selama 18 bulan Epsom College di sini hari ini.

Ditanya sama ada syarikat penerbangan tambang rendah itu akan mengadakan pelbagai promosi pada tahun hadapan seiring dengan langkah kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, Fernandes berkata, perkara itu sudah pasti berlaku.

"Kerajaan telah membentangkan belanjawan yang baik. Mereka menghulurkan lebih daripada RM1 bilion kepada industri pelancongan. Ini bermakna Malaysia Airport perlu memainkan peranan dan membantu syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines yang mempunyai fokus pasaran yang berbeza, agar dapat mencatatkan pertumbuhan dan mengambil bahagian dalam peluang untuk mengembangkan pelancongan di Malaysia," katanya lagi.

Beliau juga berkata inisiaitif kerajaan untuk terus memberikan tumpuan terhadap pembangunan sektor pelancongan adalah langkah sewajarnya kerana ia antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ke arah usaha menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, dengan sasaran kedatangan 30 juta pelawat.

—BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu