EKONOMI

SYARIKAT MALAYSIA DIGESA LABUR DI PASARAN SEDANG PESAT MEMBANGUN BAHARU SELAIN PASARAN TRADISIONAL- MIDA

15/10/2019 08:24 PM

Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 15 Okt -- Selain pasaran tradisional, terdapat banyak lagi peluang perniagaan dan pelaburan di pasaran sedang pesat membangun baharu seperti rantau Afrika yang boleh dilabur syarikat Malaysia, kata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengarah Bahagian Penyelarasan Pelaburan Domestik dan Rantaian Bekalannya, Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA menggalakkan syarikat untuk berangkaian dengan anggota panel felo seminar ‘Peluang Perdagangan dan Pelaburan di Negara-Negara Afrika 2019’ yang bermula hari ini untuk mendapatkan maklumat bagi mengembangkan kepentingan perniagaan mereka di negara-negara ini. 

"Kami menyediakan latihan, padanan perniagaan dan juga platform bagi delegasi untuk berkongsi apa yang tersedia di negara mereka, bagi peluang perniagaan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Sikh Shamsul berkata para peserta juga mempunyai akses kepada maklumat  terkini mengenai dasar negara-negara Afrika seperti yang dirangka oleh kerajaan mereka, serta maklumat mengenai kemudahan dan sokongan yang disediakan. 

Beliau berkata para pegawai kanan Agensi Penggalakan Pelaburan dan Kementerian dari Benin, Cameroon, Ghana, Lesotho, Rwanda, Tanzania, Uganda dan Zimbabwe bersedia untuk berkongsi pandangan mereka mengenai penggalakan pelaburan di negara mereka. 

Pada akhir 2017, Sikh Shamsul berkata Pelaburan Langsung Di Luar Negara (DIA) Malaysia kebanyakannya adalah dalam subsektor perkhidmatan kewangan, sektor perlombongan dan pertanian dan subsektor perkhidmatan maklumat dan komunikasi. 

"Mengikut destinasi, pelaburan domestik di luar negara dalam tempoh ini disalurkan terutamanya ke ekonomi Asia Tenggara, terutamanya Singapura dan Indonesia, diikuti negara-negara Eropah dan Amerika Utara terutamanya Kanada.

"DIA kita pada awalnya didorong oleh syarikat berkaitan kerajaan dalam industri minyak dan gas dan minyak sawit,” katanya. 

Sejak pertengahan 2000, beliau berkata syarikat swasta terutamanya dalam industri telekomunikasi mula menunjukkan minat untuk meneroka ke luar negara. 

Perkembangan ini berlaku susulan peningkatan kerjasama ekonomi serantau menerusi perjanjian dua hala dan serantau dan dilengkapkan oleh inisiatif dasar negara. 

Seminar yang berlangsung selama dua hari tersebut dianjurkan bersama oleh MIDA, Kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Ini merupakan tahun ke-7 berturut-turut ia dianjurkan oleh MIDA.

--BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan