'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 12m ago ]

Unit Vizione disenarai pendek untuk bangunkan Empangan Papar, Sabah

Tarikh kemaskini: 16/10/2019
KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Vizione Holdings Bhd mengumumkan bahawa syarikat usaha samanya dengan Pembinaan Maju Cemerlang Sdn Bhd (PMCSB) menerima surat hasrat (LOI) dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi pembangunan Empangan Papar dan kerja-kerja bekalan air yang berkaitan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, firma pembinaan itu berkata LOI itu memaklumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya Wira Syukur (M) Sdn Bhd dan PMCSB telah disenarai pendek dan meminta untuk berbincang dengan JANS mengenai terma dan syarat untuk mereka bentuk dan membangunkan projek itu.

“Projek tersebut mempunyai kapasiti membekalkan 1,000 juta liter bekalan air sehari dan menjana 100 MW elektrik. Kapasiti empangan itu dijangka menyediakan sumber air yang strategik kepada rakyat Sabah, sekali gus memenuhi keperluan air di Kota Kinabalu dan pantai barat Sabah untuk 50 tahun akan datang,” menurut syarikat itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memaklumkan mengenai nilai projek.

Mengenai rasional melaksanakan kerja tersebut, Vizione berkata ia akan memperluas asas pelanggan, meningkatkan nilai kontrak kumpulan dan mewujudkan aliran pendapatan yang kukuh.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu