'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 46m ago ]

UM perjelas punca halang graduan perakaunan sertai konvokesyen

Tarikh kemaskini: 17/10/2019
KUALA LUMPUR, 16 Okt -- Universiti Malaya (UM) bertindak menghalang seorang graduannya daripada menyertai istiadat konvokesyen semalam, selepas didapati menghasut graduan lain untuk turut serta mendesak Naib Canselor universiti itu meletakkan jawatan kerana kononnya bersikap perkauman.

UM, dalam kenyataannya di sini hari ini, memaklumkan siasatan awal mendapati, graduan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu telah menggunakan akaun Facebooknya untuk berbuat demikian dan hasil pemeriksaan yang dilakukan sebelum sidang ketujuh dilangsungkan telah menemukan sekeping plakad yang mengandungi kata-kata bersifat provokatif daripada pelajar itu.

“Penemuan itu memperlihatkan bahawa graduan itu mempunyai niat untuk menganggu perjalanan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung.

“Bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman istiadat yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu termasuk ibu bapa, ahli akademik dan graduan lain, graduan itu dibawa keluar dari Dewan Tunku Canselor dan tidak dibenar menyertai istiadat konvokesyen, semalam,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan UM sentiasa mendokong prinsip kebebasan bersuara, bagaimanapun, sebagai institusi pengajian tinggi yang memegang amanah besar untuk mendidik generasi masa depan, universiti berkenaan juga percaya kebebasan itu perlu dilengkapi tanggungjawab.

“Justeru, apa juga tindakan berlandaskan prinsip itu perlu dilakukan pada tempat dan cara yang sesuai,” katanya.

UM turut melahirkan kebimbangan tindakan yang berbentuk hasutan dengan memainkan agenda perkauman itu bukan hanya berkemungkinan boleh mengancam keselamatan Naib Canselor, tetapi turut menggugat ketenteraman dan kerukunan awam terutama di universiti itu.

Sebelum ini, Isnin lalu seorang graduan kejuruteraan awam mengejutkan tetamu yang hadir pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM kali ke-59 apabila bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazah.

Graduan terbabit melaungkan perkataan itu sambil menjerit ‘ini tanah Malaysia’ sehingga menimbulkan kecaman ramai yang kurang senang dengan tindakannnya yang tidak menghormati majlis itu.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu