Malaysia kekal terajui ekonomi Islam global [ 9m ago ]

DPN: Kukuh tadbir urus sektor pengangkutan ke arah persekitaran yang kondusif

Tarikh kemaskini: 17/10/2019
KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Rangka kerja institusi dan tadbir urus yang teguh penting untuk mencipta ekosistem yang sihat dan kondusif agar pemain industri dapat beroperasi dengan cekap dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat serta selesa.

Menurut teras pertama dalam buku Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 yang dilancarkan hari ini, rangka kerja institusi itu mesti boleh disesuaikan untuk menerima kemasukan pelbagai teknologi dan trend baharu.

"Antara strategi yang digariskan di bawah teras itu adalah meningkatkan pembangunan tenaga mahir dan imej pekerjaan bagi menjalankan kerjaya yang lebih menarik. Ia bagi memastikan wujud keupayaan modal insan yang mencukupi untuk perancangan strategik dan pelaksanaan program dan projek pengangkutan.

"Ia juga bagi memenuhi keperluan industri pengangkutan dengan menyediakan tenaga kerja yang mahir dan mencukupi untuk menghadapi trend semasa dan akan datang seperti pendigitalan dan kenderaan autonomi," menurut dokumen berkenaan.

Agensi Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk sektor pengangkutan bagi menyediakan program latihan serta penyelidikan dan pembangunan akan ditubuhkan di samping mengukuhkan keupayaan dan kepakaran industri pengangkutan, jelas DPN.

Sementara itu, teras tersebut juga akan menyerapkan konsep perancangan berasaskan bukti dalam perancangan dan pembangunan sektor berkenaan untuk memenuhi keperluan pasaran.

Bagi membolehkan pelaksanaan penyelidikan dan pemodelan yang berkualiti dan mencukupi, terdapat keperluan untuk mengemas kini data dengan kerap dan membina pangkalan data berpusat yang boleh diakses oleh semua agensi berkaitan pengangkutan, menurut DPN.

"Konsep perancangan berasaskan bukti itu dapat menginstitusikan penggubalan dan perancangan dasar serta mengukuhkan pengunaan analisis ekonomi dalam proses membuat keputusan.

"Oleh itu, pangkalan data pengangkutan berpusat, data geospatial dan pemodelan untuk menyokong perancangan berasaskan bukti yang strategik akan diwujudkan," menurut buku dasar itu.

Teras ini juga akan menangani isu berikut:



• Keperluan untuk menyemak, mengemas kini atau menghapuskan akta dan peraturan yang sudah lapuk

• Ketersediaan rangka kerja perundangan untuk menghadapi perubahan terutamanya teknologi baharu

• Data pengangkutan yang tidak lengkap untuk membantu perancangan dan pembangunan sektor

pengangkutan

• Kekurangan keupayaan dalam kalangan pegawai untuk membuat analisis data

• Isu penyelarasan di antara kementerian/agensi pengangkutan yang berkaitan

• Ketiadaan pangkalan data/model berpusat bagi menyokong perancangan berdasarkan bukti, termasuklah dalam menghasilkan data geospatial

• Penyelidikan dan pembangunan dan inovasi (R&D&I) yang terhad dalam sektor pengangkutan

• Kebanyakan pekerja dalam sektor ini berkemahiran rendah

• Peluang kerjaya yang kurang menarik dalam sektor pengangkutan terutamanya pengangkutan darat

• Kelemahan penguatkuasaan dalam menangani kesalahan lebihan muatan dan lain-lain kesalahan trafik



-- BERNAMA


































       Berita Utama Terdahulu