Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Dasar Pengangkutan Negara penuhi keperluan industri dan mesra perniagaan -- Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 17/10/2019

KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 akan memastikan Malaysia kekal menjadi negara mesra perniagaan, memenuhi keperluan industri dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri pengangkutan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memberi perhatian utama kepada peningkatan perdagangan melalui laluan laut dan jangkaan peningkatan berganda penumpang penerbangan dalam kurang dua dekad daripada sekarang.

"Pemain industri khususnya dalam sektor udara dan laut harus memanfaatkan peningkatan permintaan dengan meningkatkan volume (kuantiti) perkhidmatan masing-masing untuk memenuhi keperluan semasa, yang juga akan memberikan faedah peningkatan ekonomi kepada negara," katanya ketika melancarkan dasar itu, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, negara telah membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk infrastruktur pengangkutan bagi sektor darat, udara dan laut, yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara di peringkat global.

Pada 2018, katanya, hasil sumbangan daripada pelbagai sektor ekonomi termasuk pengangkutan, Malaysia berada pada kedudukan ke-25 daripada 140 buah negara dalam Laporan Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia.

Selain itu, dua pelabuhan Malaysia turut tersenarai dalam 20 pelabuhan terbaik dunia dari segi isi padu kontena yang dikendalikan, iaitu Pelabuhan Klang pada kedudukan ke-12 dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor pada kedudukan ke-18.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga telah mengenal pasti beberapa trend global semasa dan komited untuk menanganinya sebaik mungkin melalui DPN 2019-2030.

"Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian dan akan ditangani melalui dasar ini adalah perkembangan teknologi terkini dan perubahan trend mobiliti rakyat dengan berkembangnya e-dagang.


"Perkembangan teknologi termasuk e-dagang perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan, dan usahawan dalam bidang pengangkutan dalam mendapatkan faedah ekonomi," katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu