Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

CEO FICSB sahaja tidak setuju pembelian hotel MPHS

Tarikh kemaskini: 18/10/2019
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), Mohd Zaid Abdul Jalil memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa hanya beliau sahaja tidak bersetuju dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta.

Mohd Zaid, 48, memaklumkan demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Salehuddin Saidin, mewakili Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, pada hari kelapan perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah bekas pengerusi Felda itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata, beliau tidak menyuarakan bantahan itu dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah FICSB ke-10 pada 29 April 2014.

“Mesyuarat mengambil suara majoriti bagi persetujuan pembelian hotel berkenaan, namun tidak semua perkara dicatatkan dalam minit oleh setiausaha syarikat FICSB," katanya yang juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah FICSB.

Salehuddin: Adakah persetujuan daripada kamu (Mohd Zaid) mengenai pembelian hotel itu penting?

Mohd Zaid: Penting.

Salehuddin: Jadi kamu nak tunjuk yang kamu adalah seorang lelaki yang bertanggungjawab?

Mohd Zaid: Setuju.

Disoal Salehuddin adakah Mohd Zaid terdesak menyalahkan individu lain bagi menutup kesalahannya kerana tidak menyuarakan bantahannya dalam mesyuarat itu, Mohd Zaid menjawab “tak setuju”.

Beliau juga menolak cadangan Salehuddin bahawa persetujuan daripada beliau perlu diminitkan dalam mesyuarat kerana hanya beliau sahaja yang tidak bersetuju dengan pembelian hotel tersebut.

Pada Rabu lalu, dalam penyataan saksinya, Mohd Zaid berkata, beliau tidak pernah bersetuju dengan harga hotel berkenaan bernilai RM160 juta yang ditawarkan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan tidak terlibat dalam sebarang perbincangan dengan pihak GAPSB dalam hal itu.

Pada 14 Dis 2018, Mohd Isa, 70, mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan pecah amanah dan sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga didakwa melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu