MIDF kekal saranan 'neutral' ke atas MISC, pertumbuhan akan dipacu oleh segmen LNG [ 12m ago ]

Penduduk dakwa wujud kegiatan penyeludupan barang bersubsidi

Tarikh kemaskini: 19/10/2019
PADANG BESAR, 18 Okt -- Penduduk Padang Besar mendakwa kegiatan penyeludupan pelbagai barangan kawalan bersubsidi di kawasan sempadan di sini berlaku sejak sekian lama meskipun pihak berkuasa mengawal sempadan agar tidak berlaku jenayah rentas sempadan.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Mat, 58, mendakwa aktiviti penyeludupan tersebut berlaku melibatkan pelbagai barangan asas bersubsidi yang dinikmati rakyat di negara ini.

Dia mendakwa sekumpulan warga Thailand yang berada di sini aktif melakukan aktiviti mereka bermula awal pagi selepas waktu subuh dan berakhir sebelum tengah hari.

Beliau mendakwa pihak berkuasa seolah-olah tidak mempedulikan tindakan itu meskipun dilihat menyedari kegiatan penyeludupan itu sedang berlaku di hadapan mereka.

"Mereka (warga Thailand) buat kegiatan itu keluar sahaja dari sempadan, bawa kereta atau motosikal laju. Sebab nak kutip barangan kita (barangan subsidi) untuk dibawa masuk semula ke sana (Thailand). Saya sangat takut sehinggakan nyaris dilanggar oleh mereka yang tidak menghiraukan lalu lintas," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati keadaan di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar lengang dan terkawal yang dikawal selia pihak berkuasa antaranya Kastam, Imigresen dan polis.

Bernama juga mendapati terdapat Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal pagar sempadan di sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Padang Besar.

Bernama turut melihat terdapat laluan yang dipercayai 'laluan tikus' termasuk ada pagar dirosakkan di kawasan pintu sempadan berkenaan.

Menurut Pak Mat ada juga antara penduduk di sini dilanggar hingga patah peha sehinggakan ada yang meninggal dunia kerana warga Thailand membawa kenderaan mereka dengan laju.

Beliau mendakwa terdapat juga penduduk tempatan yang membawa masuk barangan bersubsidi dari negara ini ke negara jiran itu namun penduduk tidak berani membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa kerana bimbang keselamatan mereka sekali gus mengambil pedekatan berdiam diri.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Syukur, 30, mendakwa penyeludup juga mengetahui pergerakan pihak berkuasa apabila operasi dilakukan.

"Mereka akan menghentikan sebarang aktiviti tersebut dan akan bersambung semula selepas beberapa hari bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

“Saya perasaan mereka akan guna kenderaan jenis pikap seperti Toyota Hilux. Mereka akan sedut minyak bersubsidi kita seperti petrol dan diesel.

"Saya juga pernah nampak mereka menyeludup minyak diesel, petrol, tepung dan gula dengan begitu banyak sekali," katanya yang menganggap penguatkuasaan di kawasan sempadan itu mudah dibolosi.

Justeru, beliau berharap pihak berkuasa memandang serius kegiatan berkenaan di pintu sempadan di sini bagi memastikan barangan bersubsidi negara tidak disalah guna orang luar sekali gus memastikan keselamatan terpelihara.

Hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ia memiliki ribuan klip rakaman video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara akibat perbuatan rasuah sejak 2017.

SPRM menayangkan satu daripadanya mengenai aktiviti penyeludupan yang berleluasa di sempadan Padang Besar, Perlis dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu