MIDF kekal saranan 'neutral' ke atas MISC, pertumbuhan akan dipacu oleh segmen LNG [ 14m ago ]

Dalami ilmu kewangan dan perniagaan, Tun M gesa generasi muda

Tarikh kemaskini: 19/10/2019
KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Dr Mahathir Mohamad menggesa generasi muda supaya mempelajari dan mendalami ilmu pengurusan kewangan dan perniagaan dengan sebaik mungkin ketika mengharungi ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri , dalam menjawab soalan pengguna Instagram yang dikenali sebagai ‘nasmi.akabar’, berkata ilmu sedemikian akan mempersiapkan diri mereka untuk mengendali dan menguruskan perniagaan.

Perdana Menteri berusia 94 tahun itu juga mengambil peluang untuk melayan pertanyaan melalui perbualan secara langsung daripada pengguna lain dalam Instagram yang kemudian disusun atur dalam bentuk video berdurasi dua minit 45 saat yang dimuat naik dalam akaun Youtube beliau hari ini.

Kepada soalan bagaimana beliau menangani unsur negatif sepanjang zaman kepimpinannya, beliau memberitahu pengguna ‘azzm.azmn’ bahawa beliau harus disiplin tinggi dan mengingatkan diri untuk tidak melakukan perkara-perkara tertentu yang tidak baik bagi dirinya seperti makan berlebihan atau terbabit dalam aktiviti keseronokan yang menjejaskan.

Selain itu, Dr Mahathir yang menjawab soalan diajukan ‘hazeeq.z’ mengenai bagaimana mahu ‘stay motivated untuk study’ (kekal bermotivasi untuk belajar), beliau memberitahu:

“Pertamanya ‘ study’ (belajar) amat penting untuk kebaikan diri kita kerana dengan ‘study’ kita akan dapat lebih banyak ilmu, dengan ilmulah yang akan menolong kita dalam kehidupan.

“Kita harus menerapkan nilai-nilai hidup yang mulia seperti kerajinan dan amanah untuk kita berjaya dalam usaha-usaha kita,” katanya.

Mengenai nasihat untuk menjadi pemimpin sepertinya yang diminta oleh ‘zuhaili_13’, Dr Mahathir berkata, seorang pemimpin mesti sanggup menghadapi cabaran, berkebolehan untuk menyelesaikan masalah dan mendapat sokongan serta kesetiaan daripada pengikut.

Dr Mahathir juga mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan kebanyakan masalah yang membelenggu negara ke tahap yang boleh diselesaikan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika menjawab soalan dilontarkan ‘zakiamir’ mengenai perkara utama yang ingin diselesaikannya agar dapat bersara dengan hati yang tenang.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu