Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 28m ago ]

Pasar Awam Pontian yang meniti di bibir pelancong luar

Tarikh kemaskini: 19/10/2019
Oleh: Lucia Terey John dan Muhamad Syafiq Mohd Tayeb

PONTIAN, 19 Okt-- Bagi penduduk luar khususnya warga Singapura, kunjungan ke bandar ini bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke Pasar Awam Pontian, yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari Johor Bahru.

Ini kerana ia cukup sinonim dengan bekalan ikan segar dan bersaiz besar seperti kerapu, senangin, ikan bawal, ikan merah, ikan pari dan sebagainya.

Bahkan terdapat juga makanan laut seperti udang, sotong, ketam dan udang dijual di pasar ini.

Menurut penjual-penjual ikan di situ, pasar tersebut telah pun wujud kira-kira 35 tahun yang lalu, dan dibuka kepada orang awam mulai pukul 4 pagi sehingga tengah hari, dari Selasa hingga Ahad (kecuali Isnin).

Setakat ini, terdapat kira-kira 40 penjual mengambil bahagian menjual hasil laut nelayan setempat di pasar berkenaan.

Salah seorangnya, Ng Beng Kang, 52, berkata perniagaan yang dilakukannya sekarang adalah warisan daripada ayahnya sejak 18 tahun yang lepas dan kini diusahakan bersama isterinya.

“Kebiasaannya, kami berdua akan membuat persediaan (membuka perniagaan) seawal 4.30 pagi dan bermula pukul 7 pagi, orang ramai sudah mula membanjiri.

“Kebanyakan ikan yang kami perolehi diambil dari nelayan sekitar Pontian dan luar Pontian umpamanya Mersing dan selalunya terdiri daripada pelbagai jenis antaranya tenggiri, kerapu, jenahak, pari, mayong, senangin, parang, bawal putih dan hitam serta kembung,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Ng, ikan yang ditawarkannya juga dijual pada harga berpatutan, menyebabkannya menjadi faktor penarik pelancong-pelancong dari luar khususnya Singapura, Kuala Lumpur dan Kluang untuk datang membeli bekalan mereka.

”Disebabkan kecenderungan pelawat luar datang ke sini termasuk dalam kalangan pengusaha-pengusaha restoran, maka saya dan keluarga mampu meraih pendapatan sehingga RM5,000 sehari dengan menjual ikan sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Liew Hui Peng, 48, berkata dia sering membawa rakannya yang merupakan warga Singapura ke pasar itu, untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya tinggal di Kulai tetapi disebabkan tempat ini agak terkenal, jadi saya tidak kisah datang dua atau tiga kali sebulan untuk mendapatkan ikan segar.

“Saya juga sering mengajak rakan dari Singapura datang bersama. Memang berbaloi kerana ikan yang dibeli boleh disimpan lama di dalam peti sejuk.

“Lagi pun di sini, anda boleh membawa ikan dibeli ke restoran berhampiran untuk dimasak dan dihidangkan terus, juga,” katanya yang memberitahu akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 setiap kali membeli barang basah di pasar terbabit.

Bagi Jalilah Dessah, 60, pula, pasar itu merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi setiap kali dia dan suami berada di Pontian.

“Saya menetap di Wangsa Maju, Kuala Lumpur tetapi kerap datang ke sini (Pontian) untuk melawat anak perempuan yang bekerja di sini.

“Tetapi dulu saya tidak tahu kewujudannya (Pasar Pontian Awam), sehinggalah diberitahu oleh suami.

“Pada penelitian saya, harga ikan di sini segar dan masih berpatutan. Kebiasaannya saya akan mencari ikan kembung, ikan talang atau udang kaki merah,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Roslina Wan Abdul Rahman,38, berkata, suaminya merupakan antara nelayan yang membekalkan hidupan laut kepada peniaga-peniaga di pasar berkenaan.

Ikan yang dijual kepada peniaga secara puratanya seberat sekitar dua hingga tiga kilogram dan terdiri daripada ikan siakap, senangin dan kerapu.

“Tempat ini memang merupakan nadi kepada nelayan setempat, malah dari Batu Pahat untuk memasarkan hasil tangkapan mereka, selain menjualnya secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat.

“Dengan berbuat begini, ia bolehlah membantu keluarga kami menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan,” kata Wan Roslina.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu