'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 37m ago ]

Permulaan baharu buat Ganesh, selepas kenal Aiman

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
Gambar hiasan (Gambar: blog maukerja.my)
KUALA LUMPUR 21 Okt -- Perkenalan lima bulan lepas antara Aiman Manan seorang pembekal makanan tambahan semula jadi dengan seorang penghantar barangan bebas yang amat bertanggungjawab dan bersopan santun, Ganesh Mootthy telah memulakan satu perhubungan yang unik.

Aiman seorang pengurus sebuah syarikat makanan tambahan semula jadi, menggambarkan Ganesh yang bekerja sebagai seorang penghantar barangan sebagai seorang yang bersopan santun, bercakap dengan penuh hormat dan jujur serta seorang yang amat efisien dalam menyempurnakan tugas menghantar barangan kepada pelanggan.

“Saya bagi tahu dia (Ganesh) yang kami ada penghantaran setiap hari dan bertanya jika dia boleh menguruskan penghantaran di kawasan Lembah Kelang. Kami cuba menggunakan perkhidmatan beliau beberapa kali dan beliau amat tepat dengan masa penghantarannya.

“Tidak pernah sekali lewat dan apabila kami bertanya kepada pelanggan kami, mereka bercakap perkara yang sama. Bersopan santun, becakap dengan penuh hormat dan tepat pada masa,” katanya dalam hantaran dalam akaun Facebooknya baru-baru ini.

Hantaran tersebut menarik perhatian dan mendapat ‘tanda suka’ daripada ramai netizen yang kemudiannya mendoakan yang terbaik untuk Aiman dan Ganesh, dua orang asing, seorang berbangsa Melayu dan seorang berbangsa India, yang saling menghargai satu sama lain, sesuatu yang amat jarang berlaku pada masa ini.

Ketika dihubungi Bernama mengenai hantaran Aiman di Facebooknya itu, Ganesh yang berasal di Puchong itu berkata: “Saya memang berterima kasih sampai bila-bila kepada Abang Aiman, tidak sangka orang yang tidak mengenali saya, boleh tolong saya.”

Sebagai seorang yang kehilangan ibunya dua bulan selepas beliau lahir dan berhenti bersekolah selepas tingkatan 3, ucapan Aiman yang baik dan memberikan semangat itu tentunya amat bermakna untuk Ganesh.

Ganesh, 26, mula bekerja di restoran makanan segera pada umur 16 tahun dan pada tahun 2016 mula membuat kerja-kerja penghantaran secara bebas. Sejak pertengahan tahun 2018, beliau mula membuat penghantaran Grab Food.

Katanya, beliau percaya untuk memberikan yang terbaik atas apa juga yang dilakukan dan sebab itu ketepatan masa dan komitmen akan menunjukkan segalanya.

Ketika bekerja untuk Aiman selama dua bulan, beliau terus bekerja secara sambilan membuat penghantaran Grab Food, dan Ganesh berkata, jumlah pelanggannya telah meningkat daripada tiga hingga empat pelanggan sehari kepada 10 orang sehari.

Ketika beliau membuat kerja secara sendirian, pendapatan beliau hanya kira-kira RM500 sebulan, tidak termasuk penghantaran Grab Food, dan kini selepas membuat kerja untuk Aiman, beliau boleh mendapat pendapatan sehingga RM2,000 sebulan.

Malah ianya tidak terhenti di situ, apabila Aiman menawarkan Ganesh bekerja di syarikatnya di mana beliau akan menguruskan inventori dan tempahan. Ganesh telah menerima tawaran tersebut.

“Dengan cara ini beliau akan dapat belajar benda baharu, mendapat gaji tetap dari kami dan saya benarkan beliau untuk terus membuat Grab dan servis penghantarannya.

“Apa yang perlu beliau lakukan ialah rancang pergerakan hariannya. Saya percaya inilah yang terbaik dan Ganesh akan mampu untuk melakukannya.

“Seorang anak muda yang berpotensi besar, bijak. Semoga berjaya anak muda,” kata Aiman.

Di sebalik cerita ini, ternyata masih terdapat ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersedia untuk membantu antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu