Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Malaysia hampir bankrap sebab 1MDB - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, hampir suatu keajaiban Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

Perdana Menteri berkata, kerosakan tersebut bukan sahaja berkaitan kewangan tetapi juga keinstitusian.

“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di sini.

Dr Mahathir berkata, ia akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya.

Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, perdana menteri berkata, seluruh jentera kerajaan telah disubversif dan dilemahkan.

Katanya, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Katanya, bagi memulih dan membangunkan negara, jentera kerajaan perlu dipulihkan dan efisien.

“Ini bermakna sifar rasuah, jika boleh. Semua usaha telah dilakukan untuk mencapainya. Mungkin kami telah mencapai beberapa kejayaan kerana pertumbuhan telah dikekalkan,” katanya.

Beliau menyatakan beberapa sasaran dalam Wawasan 2020 yang dibuat pada 1991 oleh kerajaan diketuainya sebelum ini, dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada 2020 tidak akan tercapai tahun hadapan selepas tergelincir disebabkan pemimpin yang mementingkan diri sendiri.

Sebahagian daripada sasaran itu tidak ditinggalkan dan ia digabungkan ke dalam pelan tindakan Wawasan Kemakmuran Bersama dan apa yang tidak dicapai tahun hadapan, diharapkan dapat dicapai pada 2030 dan seterusnya, katanya.

Katanya ketika negara menetapkan untuk meningkatkan pendapatan kesemua kumpulan, etnik, penduduk bandar, luar bandar atau negeri, ia juga perlu meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.

“Faktor yang paling penting ialah untuk menyediakan taraf hidup yang baik kepada seluruh rakyat Malaysia dan berharap untuk mengembalikan status kita sebagai Harimau Asia,” katanya.

“Objektifnya ialah untuk menjadikan setiap rakyat Malaysia merasakan dirinya mempunyai kepentingan dalam negara ini dan untuk mencapainya kita perlu pastikan pembangunan mampan dan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil melalui pertumbuhan saksama pada semua peringkat pendapatan, kumpulan etnik, negeri dan kawasan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ia bukan semata-mata satu impian dan kerajaan telah memasukkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada Belanjawan 2020 dan menjangkakan ianya akan bermula pada 2021.

Sumber manusia Malaysia perlu dibangunkan supaya mereka tangkas menyesuaikan diri dalam pembangunan teknologi yang pesat, kerana teknologi pintar membolehkan negara membangun melonjak lebih daripada negara yang menggunakan era konvensional, katanya.

Katanya perlu diwujudkan satu masyarakat Malaysia baharu yang secara psikologinya bebas daripada kongkongan tradisi, selamat dan maju dan objektifnya adalah sebuah masyarakat demokratik yang matang.

“Sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika juga perlu diwujudkan, dengan menjadikan masa lalu sebagai pengajaran. Begitu juga sebuah masyarakat yang matang dan bertoleransi perlu dipupuk sementara ketidakseimbang dikurangkan.

Sistem, institusi dan amalan juga perlu memastikan adanya masyarakat yang seimbang dari segi ekonomi, kata Dr Mahathir dan menambah yang kestabilan masa hadapan negara akan lebih terjamin dan berterusan.

“Terdapat kemajuan dalam sebahagian daripada cabaran ini, walaupun ia tidak konsisten. Apa yang penting ialah - apabila kita bersatu diambang 2020, kita perlu belajar daripada kekurangan masa lalu dan mengandakan usaha kita,” katanya pada persidangan dua hari dianjurkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang berakhir esok.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu