Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 57m ago ]

WKB 2030: Peluang hanya untuk golongan yang boleh jayakannya - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri)
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Kerajaan akan memastikan peluang di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) disediakan hanya untuk golongan yang boleh melaksanakannya dengan jaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata mereka perlu mempersiapkan diri dengan latihan dan kemahiran yang diperlukan apabila diberi peluang oleh kerajaan.

“Apa yang telah berlaku dalam Wawasan 2020, apabila mereka diberi peluang, mereka mensia-siakan peluang itu, mereka mahu wang dengan cepat. Ini menyebabkan wawasan (2020) tidak tercapai,” katanya dalam sesi soal jawab pada Persidangan Praxis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bertindak sewajarnya terhadap program dan insentif yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Negara 2030 bagi menjayakannya.

Sikap yang salah perlu dibuang, katanya ketika menjawab soalan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang mengenai keberkesanan program yang dilaksanakan di bawah Wawasan 2020.

Mengakui dalam banyak kes, kelemahan dalam pelaksanaan mengakibatkan Malaysia tidak mencapai sasaran, Dr Mahathir berkata golongan yang mempunyai sikap yang betul boleh menyumbang kepada kejayaan.

Ditanya sama ada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 boleh dicapai kerana ia hanya melibatkan tempoh 10 tahun berbanding Wawasan 2020, Perdana Menteri berkata ia adalah satu kesinambungan yang melibatkan perancangan hampir 30 tahun.

“Apa yang diperlukan ketika ini adalah membetulkan kegagalan itu, mencari kelemahan dan mengatasinya dan ini yang telah kami lakukan kerana kami tahu sebab kita tidak dapat mencapai Wawasan 2020 pada masa yang ditetapkan.

“Sekarang adalah masa untuk membetulkan kesilapan Wawasan 2020 dan memanfaatkan wawasan itu, serta memperkukuhkan modus operandi dalam mencapai sasaran,” katanya.

Perdana Menteri yakin perkhidmatan awam sedia ada boleh menyumbang dengan efisien dalam mencapai agenda nasional.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata ada dalam kalangan penjawat awam yang perlu dilatih dan diberi pendedahan serta bimbingan

“Sepanjang tempoh kita mempunyai kerajaan kleptokratik, bukan sahaja wang dicuri tetapi keseluruhan perkhidmatan awam terjejas. Sehingga membuatkan mereka menganggap perbuatan rasuah tidak salah.

“Orang teratas rasuah jadi mereka fikir kenapa mereka tidak boleh ambil (rasuah) untuk diri mereka. Jadi bila kami (kerajaan Pakatan Harapan) ambil alih, perkara pertama yang kami lakukan adalah membuang pegawai yang rasuah dan membersihkan seluruh jentera kerajaan.

“Tetapi apabila kita mempunyai kakitangan baharu, ada keperluan untuk melatih, memberi mereka pengalaman dan bimbingan yang betul," katanya.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini bertujuan meneliti kemajuan yang dicapai negara dalam tempoh hampir 30 tahun sejak Wawasan 2020 yang diumumkan pada 1991.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu