'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 14m ago ]

Kehadiran kapal perang di Laut China Selatan membawa kepada konflik tidak perlu - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kehadiran kapal perang di Laut China Selatan boleh menyebabkan kemalangan besar dan konflik yang tidak perlu di kawasan itu.

Beliau berkata pada masa ini kapal masih bebas untuk berlayar di kawasan itu tanpa sebarang halangan tetapi memberi amaran bahawa kehadiran kapal perang mungkin membawa kepada masalah yang lebih besar.

"Rayuan kami (Malaysia) kepada kuasa-kuasa besar adalah menjauhkan semua senjata perang (kapal perang) di kawasan ini ... mungkin membawa kepada kemalangan dan kerana anda semua tahu kemalangan mungkin membawa perang.

"Kita tahu apabila Archduke Franz Ferdinand terbunuh di Sarajevo, berjuta-juta orang kehilangan nyawa mereka selepas itu, kita tidak mahu apa-apa kemalangan sama sekali," katanya semasa sesi Soal Jawab Persidangan Praxis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) "Malaysia Beyond 2020", di sini hari ini.

(Menurut portal biografi, Ferdinand, ahli waris takhta Austro-Hungary, dibunuh pada 28 Jun 1914, di tangan kumpulan pengganas Serbia 'Tangan Hitam' yang membawa kepada permulaan Perang Dunia I)

Persidangan dua hari itu yang bermula hari ini bertujuan mengkaji kemajuan yang dicapai oleh Malaysia selepas hampir 30 tahun sejak Visi 2020 pertama kali diumumkan pada tahun 1991.

Dr Mahathir berkata sehingga hari ini, negara-negara ASEAN telah duduk berbincang dalam menyelesaikan isu-isu secara damai supaya kestabilan di rantau ini terpelihara.

Beliau berkata pada masa ini ASEAN merupakan antara beberapa pertubuhan serantau yang masih berfungsi sedangkan yang lain seperti Kesatuan Eropah sedang menghadapi masalah.

“Kami (ASEAN) sudah tentu mempunyai masalah kerana ini merupakan kawasan strategik di dunia di mana banyak urusan perniagaan melalui kami (rantau ini) tetapi kami mampu mengekalkan keamanan dan kestabilan,” katanya,

Sementara itu Dr Mahathir berkata Malaysia sentiasa mengamalkan dasar dan pendekatan bersahabat dalam urusan dengan negara lain.

“Kami tidak peduli apa sistem yang mereka ada atau ideologi yang mereka ikuti, kami mahu berdagang dengan mereka dan untuk berdagang kami harus berbuat baik dengan mereka.

“Malaysia ialah sebuah negara perdagangan dan pertumbuhannya didasari dengan perdagangan, kami memerlukan pasaran tidak mampu untuk bermusuhan,” tambah beliau.

-- BERNAMA






















       Berita Utama Terdahulu