Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 48m ago ]

Sultan Nazrin Shah berkenan rasmi program restorasi tebing Sungai Perak

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menanam pokok Merbau ketika baginda merasmikan Program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2019 di Kampung Sayong Tebing hari ini.
KUALA KANGSAR, 21 Okt -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Program Restorasi Tebing Sungai Perak sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat negeri Perak 2019 di Persiaran Tebing Sungai Perak, Sayong, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Datuk Mohamed Zin Yusop dan barisan exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata pemilihan lokasi perasmian selari dengan hasrat untuk membangunkan kawasan itu sebagai Taman Botani Diraja Kuala Kangsar iaitu yang pertama seumpamanya di Perak.

"Bagi merealisasikan penubuhan Taman Botani Diraja ini, pelbagai jenis pokok akan ditanam di kawasan sepanjang lima kilometer ini.

"Sehingga kini, sebanyak 300 pokok Ara telah berjaya ditanam dengan kerjasama pelbagai agensi," katanya dalam sembah ucapan pada perasmian program sambutan bertemakan Hutan dan Pendidikan itu di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata Program Bantuan Peningkatan Ekonomi B40 menerusi Skim Insentif Penjualan Anak Pokok seliaan Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah akan dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli berteraskan kelestarian sumber alam di persekitaran mereka.

Sebagai permulaan, katanya sebanyak 1,000 anak pokok akan ditanam di kawasan Pos Kuala Mu, Sungai Siput sebelum ia diperluaskan di kawasan yang lain.

Mengenai pengurusan hutan, menteri besar itu berkata kerajaan negeri telah berjaya mengekalkan dan mengurus sejumlah lebih 988,603 hektar kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) dengan 474,882.34 hektar sebagai hutan perlindungan dan 513,721.60 hektar sebagai hutan pengeluaran.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Perhutanan Perak telah menyumbang sebanyak RM56 juta kepada hasil negeri, melebihi sasaran awal sebanyak RM50 juta selain berjaya melaksanakan Program Penghijauan melalui Aktiviti Penanaman Pokok sebanyak tiga juta pada tahun lepas.

Hari Perhutanan Sedunia disambut secara serentak di seluruh dunia pada 21 Mac setiap tahun sebagai simbolik kepada usaha-usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan pengurusan, pentadbiran, pemuliharaan, penguatkuasaan dan pembangunan hutan.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu