'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 25m ago ]

Kerajaan dalam proses penilaian berkaitan undang-undang kesalahan bunuh diri - Dr Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 21/10/2019

SERENDAH, 21 Okt -- Kerajaan sedang dalam proses penilaian dan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengkaji keperluan meminda undang-undang berhubung kesalahan bunuh diri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dalaman bersama agensi-agensi lain mengenai isu kesihatan mental yang kini semakin meningkat.

“Saya telah membincangkan isu menjadikan bunuh diri sebagai satu jenayah semasa mempengerusikan mesyuarat antara agensi berkaitan isu kesihatan mental.

“Pada mesyuarat itu, saya dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) telah menekankan keperluan kerajaan untuk mengkaji semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya selepas melancarkan 'Digital Space' (Makmal ICT) di Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah (PPKKS), di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dan mengkaji perundangan sedia ada berkaitan isu berkenaan.

“Setelah kajian itu selesai, saya akan bincang perkara ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye supaya Seksyen 309 Kanun Keseksaan dimansuhkan dan tidak menghukum individu yang cuba membunuh diri kerana mereka bukan penjenayah, sebaliknya menderita penyakit mental seperti kemurungan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata peruntukan RM80 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini akan digunakan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 institusi JKM termasuk pusat jagaan kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya dan warga emas.


Katanya JKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam proses menyediakan maklumat lengkap dan menyaring keperluan setiap institusi bagi mengelakkan pemberian peruntukan yang bertindih.

Mengenai ‘Digital Space’ yang merupakan satu hasil kolaborasi strategik antara Malaysia Airports Holdings Berhad dan KPWKM melalui JKM itu, Dr Wan Azizah yakin sokongan dan usaha sama sedemikian akan dapat memantapkan program-program pembangunan masyarakat.

‘Digital Space' itu menempatkan 13 unit komputer di dalam sebuah makmal ICT PPKKS yang dinaik taraf dan bakal memanfaatkan lebih 50 pelajar di pusat berkenaan.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu