Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 55m ago ]

Kanak-kanak perempuan, bapa antara tiga yang maut dalam kemalangan di Gelang Patah

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
JOHOR BAHRU, 21 Okt -- Seorang kanak-kanak perempuan bersama bapanya serta seorang lagi penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata kemalangan di kawasan selekoh pada kira-kira 12.30 tengah malam terbabit menyebabkan kanak-kanak berumur setahun itu maut akibat cedera di kepala manakala bapanya, rakyat Bangladesh berumur 32 tahun, yang menunggang motosikal jenis Star SU110 maut akibat cedera parah pada kepala, badan dan kaki.

"Seorang lagi penunggang yang maut pula adalah lelaki berumur 26 tahun, yang menunggang motosikal jenis Honda dan bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas, di sini. Lelaki itu turut cedera pada kepala, badan dan kaki," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata kemalangan dipercayai berlaku ketika kanak-kanak perempuan bersama bapanya, yang merupakan seorang pekebun itu sedang dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menghala ke Pendas.

"Mereka dipercayai dilanggar dari sebelah kiri dari arah yang sama oleh penunggang motosikal Honda terbabit semasa melalui kawasan jalan yang berselekoh," katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak itu bersama bapanya tercampak di atas jalan dan maut di lokasi kejadian.

Penunggang motosikal Honda turut maut di tempat kejadian dan dipercayai kecuaiannya semasa melalui kawasan selekoh itu menyebabkannya melanggar tepi sebelah kiri motosikal dinaiki kedua beranak berkenaan.

Dzulkhairi berkata mayat kanak-kanak dan bapanya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai manakala mayat penunggang motosikal Honda dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat.

Kemalangan terbabit katanya, berlaku dalam keadaan cuaca baik dan kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu