'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 10m ago ]

Rakyat Kanada mula mengundi pada Isnin

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
WASHINGTON, 21 Okt -- Rakyat Kanada pada Isnin mula mengundi dalam pilihan raya negara itu bagi menentukan sama ada mandat akan terus diberikan kepada pentadbiran di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau, lapor agensi berita Anadolu.

Pengundi akan memutuskan sama ada memilih semula Liberal iaitu parti yang memerintah atau pihak lain untuk membentuk kerajaan seterusnya.

Pencabar utama Liberal ialah dari parti konservatif diketuai Andrew Scheer. Ini adalah kempen pertama Scheer sebagai pemimpin parti.

Pilihan raya kali ini menyaksikan seramai 4.7 juta pemilih mengundi pada pilihan raya yang akan berlangsung selama empat hari, kata badan yang bertanggungjawab melaksanakan pilihan raya di Kanada. Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding pilihan raya 2015.

"Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding 3,657,415 pemilih pada pilihan raya umum 2015," kata badan pilihan raya itu dalam kenyataan akhbar.

Liberal dan Konservatif menguasai pilihan raya Kanada sejak negara ini mempunyai pemerintahan sendiri pada 1867, Liberal telah memerintah hampir 69 tahun pada abad ke-20, yang paling lama di kalangan negara maju.

Empat parti lain yang turut bersaing termasuk: Parti Demokratik Baharu (NDP) yang dibentuk hasil gabungan dua parti pro-kesatuan pada 1961; Parti Hijau yang muncul pada 1983; Bloc Quebecois pada 1991; dan Parti Rakyat yang membuat penampilan sulungnya pada pilihan raya kali ini.

Liberal memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 184 kerusi Parlimen pada 2015 sekaligus berjaya membentuk kerajaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu