'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 8m ago ]

Datuk Kamarulzaman Zainal Ketua Pegawai Eksekutif baharu KTMB - KTMB

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
Datuk Kamarulzaman Zainal
KUALA LUMPUR, 21 Okt -- Datuk Kamarulzaman Zainal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), berkuatkuasa hari ini.

Kamarulzaman, 56, menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, Mohd Rani Hisham Samsudin, yang menamatkan kontrak perkhidmatannya 15 Sept lepas, setelah dua tahun memegang jawatan itu.

Dalam satu kenyataan, KTMB mengalu-alukan kedatangan Kamarulzaman yang mempunyai pengalaman menjawat pelbagai jawatan sepanjang 21 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kamarulzaman memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Texas di Austin, Amerika Syarikat dan seterusnya ditauliahkan sebagai jurutera TUDM pada 1985.

Beliau juga terlibat dalam program pertukaran pegawai bersama Tentera Udara Diraja Australia menurut kenyataan itu.

Selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan, Kamarulzaman menyertai Malaysian-Industry Government Group for High-Technology (MIGHT) selama 13 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden Kanan.

"Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam bidang pengurusan aset strategik kerajaan, KTMB yakin Kamarulzaman mampu menggalas tanggungjawab sebagai peneraju utama syarikat itu," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu