'Acar temu' Mek Yah laris kerana khasiatnya [ 53m ago ]

Syed Saddiq minta pasukan Liga-M manfaatkan produk AMD

Tarikh kemaskini: 21/10/2019
SERDANG, 21 Okt -- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta semua pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) memanfaatkan bakat pelatih generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Menurutnya, berkata pelatih AMD mempunyai potensi cemerlang dan peluang beraksi dalam kancah Liga-M dapat memberi impak positif terhadap kelangsungan pembangunan prestasi pelatih yang akhirnya memberi faedah kepada pasukan kebangsaan.

Jelas beliau, setiap pasukan yang berhasrat mendapatkan khidmat pelatih tersebut perlu bertanggungjawab memberikan pendedahan sebaiknya di peringkat profesional.

"Sekarang ini kita mahu semua kelab ambil mereka. Tolong ambil mereka dan tempatkan mereka (dalam pasukan).

"Mereka merupakan pemain yang bagus, melatih mereka dengan sebaik mungkin supaya akhirnya mereka dapat mewakili Malaysia," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Memperkasakan NFDP di sini, hari ini.

NFDP, yang dilancarkan pada 2014 bertujuan melahirkan pemain bertaraf dunia, kini mempunyai lebih 25,000 pelatih seawal usia 12 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara, termasuk lebih 200 pelatih elit berpangkalan di AMD di Gambang.

Media tempatan sebelum ini melaporkan seramai 34 pelatih generasi pertama AMD telah disunting beberapa kelab gergasi tanah air antaranya Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor dan Kedah selain turut terdapat tawaran dari kelab di Jepun.

Penyerang sensasi skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara, Luqman Hakim Shamsuddin yang merupakan antara 34 pelatih generasi pertama AMD menjadi pemain Malaysia pertama ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pampasan kepada AMD sekiranya pelatih mereka diberikan tawaran beraksi bersama mana-mana pasukan, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Ia adalah isu dasar dan perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama Jawatankuasa Pemandu NFDP. Tetapi kalau boleh kita tidak mahu letak banyak rintangan kepada pasukan yang ingin mendapatkan khidmat pelatih ini,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu