Jadi pengganggu teknologi yang baik, kata Suriani [ 1h ago ]

Rusuhan berlaku selepas calon 'Parti Buku' diumum pemenang kerusi Parlimen Tg Piai

Tarikh kemaskini: 22/10/2019
PONTIAN, 22 Okt -- Situasi menjadi cemas apabila berlaku kekecohan di kalangan penyokong parti ‘Sinar’ sebaik sahaja calon ‘Parti Buku’ diumumkan sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat sini, petang tadi.

Keadaan menjadi lebih menggerunkan apabila penyokong dari Parti Sinar enggan bersurai dan membuat onar seperti menendang tin dan membuat provokasi kepada pihak berkuasa apabila tidak berpuas hati dengan keputusan PRK itu.

Apabila mereka enggan bersurai, anggota dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mula membuat “barricade” dan memberi amaran supaya penyokong semuanya bersurai, malangnya amaran tidak diendahkan oleh penyokong malah mereka bertindak lebih ekstrem dengan membakar poster.

Situasi bertambah runcing apabila penyokong membaling “bom air” ke arah aset FRU sehingga unit FRU iaitu “water cannon” membuat pancutan air untuk cuba menyuraikan penyokong-penyokong yang bertindak di luar batasan.

Gas pemedih mata turut dilepaskan berikutan keengganan kumpulan penyokong untuk bersurai. Keadaan menjadi reda apabila penyokong yang bertindak ganas ditahan oleh pihak berkuasa.

Situasi di atas merupakan sebahagian senario pada Latih Amal PRK yang diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor di Dataran Majlis Daerah Pontian, di sini.

Simulasi yang bermula pada pukul 4.30 petang sehingga 6 petang itu, melibatkan seramai 250 anggota dan pegawai dari tiga unit iaitu FRU, Unit Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU).

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din yang turut menyaksikan latih amal itu berkata ia diadakan untuk menguji kesiapsiagaan PDRM dalam menghadapi PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 Nov.

Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan latih amal sekaligus menunjukkan persediaan rapi oleh semua anggotanya.

“Bagaimanapun, kita akan buat post mortem apa yang berlaku petang ini, kita nak tambah baik koordinasi antara elemen-elemen yang ada terutamanya aset elemen Poru dan elemen LSF,” kata beliau.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu