CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

'Pico hydro' jana tenaga elektrik guna sungai kecil, air longkang

Tarikh kemaskini: 28/10/2019
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 28 Okt -- Seringkali, apabila membicarakan tentang penjanaan tenaga hidroelektrik, seseorang akan membayangkan perlunya sungai yang besar beserta arus deras dan pembinaan empangan dengan kos pelaburan yang tinggi.

Ini berikutan, mereka berpandangan bahawa dengan adanya kelengkapan sebegini, tenaga elektrik yang berkuasa tinggi dapat dijana setiap masa dan tidak perlu risau mengenai ketiadaan sumber tenaga tersebut.

Namun lain pula bagi sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana mereka berpendapat bahawa penghasilan tenaga hidroelektrik boleh dijana di sungai kecil dengan menggunakan peralatan ringkas dan murah selain penyelenggaraan yang mudah.

Berbekalkan idea yang inovatif serta sokongan daripada penyelidik mereka, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTeM, Dr Mohd Farriz Basar, kumpulan tersebut yang dikenali sebagai ‘Pico Hydro’ berjaya menghasilkan penjana tenaga hidroelektrik yang mampu menjana kuasa sebanyak 250 watt menggunakan dua liter air.

Menurut salah seorang daripada tiga mahasiswa kumpulan tersebut, Amarjeet Singh, 24, dengan kuasa yang dihasilkan, ia boleh menyalakan sekurang-kurangnya empat lampu, satu kipas dan satu radio.

Katanya, berdasarkan terma hidroelektrik, jika sistem itu boleh menghasilkan kuasa kurang daripada 5,000 watt, ianya dipanggil ‘pico hidro’, manakala kuasa melebihi 5,000 watt dikenali sebagai ‘mikro hidro’.

“Antara bahan yang kami guna termasuklah batang paip PVC dan dinamo basikal yang boleh di dapati dengan harga yang murah (dianggarkan jumlah kos tidak melebihi RM400). Mungkin kuasa yang terhasil itu kecil, tetapi dengan harga yang berpatutan, kita mampu pasang banyak.

“Kami juga ada menjalankan ‘pilot filters’ di mana pemasangan sistem ini dilakukan beberapa tempat seperti di beberapa perkampungan orang asli untuk melihat keberkesanan penghasilan kuasa elektrik menggunakan sistem itu, dan maklum balas yang diterima adalah positif,” katanya kepada Bernama.

Dua orang lagi ahli kumpulan tersebut ialah Harirajan Naidu dan Poobalan Velasamy yang masing-masing berusia 26 tahun dan kesemua mereka merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTeM.

Sementara itu, Dr Mohd Farriz berkata Malaysia mempunyai banyak sungai kecil yang boleh membantu menghasilkan tenaga elektrik dengan menggunakan sistem berskala kecil seperti ini tetapi dapat menampung penggunaan peralatan elektrik.

“Agak rugi jika kita biarkan sahaja sumber tersebut mengalir sahaja. Jadi, sumbangan kami adalah untuk cuba menggunakan sungai-sungai kecil ini, sekurang-kurangnya boleh menjana kuasa dan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Namun demikian, selain sungai kecil, apa yang menarik bagi sistem ini adalah ia boleh dipasang di taman perumahan dengan menggunakan air longkang, memadai untuk menjana kuasa elektrik, memandangkan air yang kita guna tidak banyak, berbanding dengan sistem hidroelektrik yang biasa (empangan hidroelektrik) yang memerlukan penggunaan air yang banyak,” katanya.

Tambah beliau lagi, modal yang dilaburkan untuk menghasilkan sistem pico hidro ini boleh diperoleh semula kurang daripada setahun selepas pemasangannya.

“Kita juga telah mematenkan reka cipta ini di Malaysia di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan di Japan Patent Office (JPO), jadi ia merupakan hak eksklusif bagi pico hidro,” katanya.

Kumpulan Pico Hydro, sebelum ini memenangi tempat pertama dalam Cabaran Perniagaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) 2019 yang berlangsung dari 12 hingga 15 Oktober lalu, dan membawa pulang hadiah berupa pembiayaan pembangunan produk bernilai RM10,000 beserta perkhidmatan perundingan MTDC.

Mereka menewaskan 30 pasukan pelajar lain dari universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran MTDC bersama Keusahawanan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM XCITE) itu.

--- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu