KPDNHEP tidak cadang wujud jenama 'i-KeeP' [ 8m ago ]

3,391 entiti perniagaan peroleh pensijilan digital SSM BizTrust

Tarikh kemaskini: 29/10/2019
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Sebanyak 3,391 entiti perniagaan telah mendapat pensijilan digital SSM BizTrust sehingga 31 Ogos, 2019, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Katanya inisiatif yang diperkenalkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ini secara tidak langsung melahirkan komuniti perniagaan dalam talian yang lebih selamat dan mematuhi etika perniagaan yang ditetapkan.

"Ia juga dapat memastikan pengguna lebih percaya untuk melakukan transaksi dalam talian dengan entiti perniagaan tersebut.

"Pensijilan digital SSM BizTrust turut mengesahkan entiti perniagaan dalam talian itu mematuhi kriteria akauntabiliti seperti pendaftaran perniagaan, keselamatan dalam talian dan perlindungan privasi," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Shabudin Yahya (PH-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada kementerian memperketatkan undang-undang sedia ada dalam menangani masalah penipuan perniagaan dalam talian yang kian membimbangkan.

Inisiatif yang diperkenalkan pada 21 Julai, 2017 itu bertujuan melindungi pengguna dan mengekang aktiviti penipuan oleh peniaga yang menawarkan produk atau perkhidmatan secara dalam talian.

Selain itu, katanya Buku Panduan Menjalankan Transaksi Elektronik Untuk Pengguna juga diterbitkan bagi membantu dan mendidik pengguna mengenai tatacara yang betul sebelum membuat pembelian secara dalam talian.

"Kementerian turut menerbitkan Buku Panduan Menjalankan Perniagaan E-Dagang kepada Peniaga bukan sahaja untuk memberi panduan kepada peniaga dalam talian tetapi juga sebagai sumber rujukan kepada pengguna berkaitan senarai semak yang perlu ada pada peniaga dalam talian sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu