Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 6m ago ]

Sunway Hotels & Resorts lantik syarikat perunding pelancongan India

Tarikh kemaskini: 29/10/2019
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Sunway Hotels and Resorts telah melantik Enhance Hospitality dalam usaha memanfaatkan pelancong dari India ke Malaysia, Kemboja dan Vietnam, khususnya pengunjung korporat bagi tujuan menghadiri mesyuarat khas dan segmen insentif.

Sunway Hotels and Resorts merupakan cabang hospitaliti Sunway Group manakala Enhance Hospitality adalah syarikat perunding pelancongan yang berpejabat di India.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andre Scholl berkata kerjasama strategik itu akan memperkukuh komitmen jangka panjang Sunway Hotels and Resorts bagi membangunkan dan meningkatkan keyakinan terhadap pasaran luar India.

“Kami amat teruja dengan perkembangan yang boleh memperluaskan lagi peluang perniagaan selain membantu kami memperkukuh jenama Sunway Hotels and Resorts dan rangkaian itu bagi segmen yang disasarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyifatkan India akan terus menjadi pasaran utama untuk Sunway Hotels and Resorts dan syarikat itu komited bagi mewujudkan lebih banyak sinergi dan kerjasama strategik jangka panjang di negara ini.

Scholl berkata Enhance Hospitality menyediakan perkhidmatan wakil jualan dan pemasaran kepada hotel, syarikat pelancongan dan biro perdagangan global untuk pasaran India.

Menurutnya, syarikat itu akan bertanggungjawab dalam memajukan dan menguruskan akaun pelanggan utama di India selain di pasaran menerusi penjanaan petunjuk jualan dan tempahan bagi tujuan senggang atau santai, korporat dan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) bagi 11 hotel dan pusat peranginan premium milik Sunway Hotels and Resorts di Malaysia, Kemboja dan Vietnam.

Ini merangkumi lebih 3,300 bilik tetamu, suite dan villa dengan kemudahan kolam renang, katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu