CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Widad Business Group semak naik tawaran kepada PLUS

Tarikh kemaskini: 30/10/2019
KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), konglomerat fasiliti pengurusan dan pembinaan bersepadu, menyemak naik tawarannya untuk PLUS Malaysia Bhd dalam pembentangannya kepada Kementerian Kerja Raya semalam.

WBG, dalam kenyataan, berkata pihaknya kini menawarkan untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam PLUS bagi RM5.3 bilion dalam pertimbangan tunai, sebagai tambahan kepada pelepasan pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan hutang dianggarkan sebanyak RM30 bilion, menjadikan jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu kepada RM38.338 bilion.

“Tawaran disemak semula oleh WBG turut mengandungi dua lagi klausa tambahan, iaitu pelepasan jaminan sukuk RM11 bilion oleh kerajaan, dan opsyen baharu untuk kerajaan membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya.

Katanya tawaran terbaru itu sebanyak RM38.338 bilion, termasuk hutang oleh WBG, yang ketika ini merupakan bida tertinggi daripada sektor swasta.

Menurut laporan berita, kerajaan telah menerima tiga cadangan bagi pengambilalihan PLUS daripada sektor swasta.

Maju Holdings Sdn Bhd telah membida PLUS pada nilai perusahaan RM34.9 bilion termasuk hutang, manakala dua lagi cadangan adalah daripada dana ekuiti swasta RJR Capital dan Tan Sri Halim Saad masing-masing bagi RM3.5 bilion dan RM5.2 bilion.

Pengerusi Eksekutif WBG Group Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata: “Kami telah mendengar komen Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masih belum mendapat tawaran yang cukup menarik untuk PLUS.

“Selepas mengadakan perbincangan, kami merumuskan tawaran yang lebih tinggi yang mencerminkan prospek lebih cerah bagi syarikat ini dan pelan pengambilalihan yang akan membantu mengurangkan lagi beban kewangan ditanggung kerajaan, serta menyediakan penjimatan yang amat diperlukan serta selesa kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya kami.”

Dalam cadangan diserahkan kepada Menteri Kerja Raya, WBG menyenaraikan beberapa komitmen bagi pengambilalihan PLUS, seperti kadar tol.

Ia juga mencadangkan dua mekanisme berbeza, pengurangan pertama 25 peratus ke 40 peratus diberikan kepada pengguna jalan raya menerusi diskaun tol secara langsung, atau pengurangan tol 18 peratus secara langsung kepada pengguna jalan raya dan bakinya pengurangan 7-22 peratus disalurkan kepada kerajaan untuk kebajikan kumpulan sasar.

Selain itu, diskaun tol 50 peratus juga akan diberikan semasa sambutan perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Pada 9 Okt, 2019, WBG pada awalnya mencadangkan kepada kerajaan untuk membeli konsesi PLUS Expressways Bhd dengan mengambil alih lebih 51 peratus konsesi milik Khazanah Nasional Bhd bagi RM1.5 bilion dalam pertimbangan tunai, atau 100 peratus konsesi milik Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi RM3 bilion dalam pertimbangan tunai.

Widad Business Group memiliki 65 peratus Widad Group Bhd dan 63 peratus Dataprep Holdings Bhd, yang merupakan dua entiti tersenarai di Bursa Malaysia Securities Bhd.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu