Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 5m ago ]

Perjanjian visa, pendidikan antara agenda utama perbincangan antara Ukraine dan Malaysia

Tarikh kemaskini: 30/10/2019
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz and Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Malaysia dan Ukraine sedang berusaha memuktamadkan beberapa perjanjian dua hala, termasuk menyediakan kemudahan perjalanan tanpa visa ke negara di timur Eropah itu untuk rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Luar Ukraine Sergiy Kyslytsya, yang mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke Malaysia pada Rabu, berkata persiapan bagi perjanjian itu telah mencapai tahap yang lebih lanjut.

"Kami mempunyai satu isu teknikal utama dan jika ia dapat diselesaikan, dalam masa terdekat kita boleh menyaksikan ketibaan rakyat Malaysia ke Ukraine tanpa memerlukan visa. Secara peribadi saya percaya adalah tidak wajar rakyat Malaysia perlu mendapatkan visa untuk ke Ukraine.

"Anda tidak mendatangkan sebarang ancaman imigresen kepada kami atau ancaman keselamatan lain, dan kami gembira melihat rakan senegara anda di bumi Ukraine,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di ibu pejabat agensi berita itu di sini.

Beliau diiringi Ketua Pengarah Kementerian Hal Ehwal Luar Ukraine bagi Rantau Asia Pasifik Zhanna Leshchynska dan Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo.

Timbalan menteri itu berkata perjanjian dua hala mengenai visa perjalanan tersebut akan terus meningkatkan jumlah pelancong dari Malaysia ke Ukraine yang "tidak berbaloi disebut" manakala sehingga 15,000 rakyat Ukraine melawat Malaysia setiap tahun.

Rakyat Ukraine boleh melakukan perjalanan ke Malaysia tanpa visa sehingga 30 hari, katanya.

"Ia mungkin kedengaran tidak begitu menarik kepada sesetengah pihak namun saya rasa dengan jarak dan ketiadaan penerbangan terus, masih terdapat kira-kira 14,000 hingga 15,000 pelancong setahun (dari Ukraine ke Malaysia). Ini bermakna lebih 1,000 rakyat Ukraine melakukan perjalanan ke Malaysia setiap bulan," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin jumlah itu boleh terus ditingkatkan dengan promosi agresif oleh pengusaha pelancongan Malaysia serta iklan promosi mengenai Malaysia.

"Anda dengan mudah boleh melihat iklan mengenai destinasi seperti Turki, India dan Amerika Latin namun agar sukar untuk melihat apa-apa mengenai Malaysia (dalam media Ukraine)," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan lain berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, Kyslytsya berkata kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi adalah antara topik yang turut dibincangkan.

Meskipun timbalan menteri itu berpendapat bahawa bidang itu masih di peringkat awal, beliau yakin terdapat ruang untuk Kementerian Pendidikan kedua-dua negara memudahkan hubungan langsung antara pendidikan tinggi di Malaysia dan Ukraine.

“Saya begitu teruja dengan kemurahan hati kerajaan Malaysia yang memutuskan setakat ini untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan di negara ini kepada rakyat Ukraine, yang merupakan golongan muda negara kami.

“Namun saya percaya ia memerlukan kaedah untuk mendekati golongan muda Ukraine dan itu merupakan tanggungjawab kedua-dua kerajaan, ... untuk memudahkan hubungan langsung antara universiti kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, dalam lawatan selama sejam beliau ke Bernama, Kyslytsya bertemu dengan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pengarang Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang (Berita) Abdul Rahman Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Khairdzir Yunos diikuti taklimat mengenai operasi agensi berita itu selain produk serta perkhidmatan yang ditawarkannya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu