Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 13m ago ]

Penggabungan sastera, sains dalam sistem pendidikan langkah wajar - Sasterawan Negara

Tarikh kemaskini: 30/10/2019
KOTA KINABALU, 30 Okt -- Langkah pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan disifatkan wajar dalam usaha membentuk masyarakat yang saling hormat menghormati serta mempunyai adab kesopanan yang tinggi, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Mohamad Salleh.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya melawat lebih 70 negara, rakyat di negara ini berada pada kedudukan antara yang tertinggi jika dinilai mengikut tahap kekasaran masyarakat.

“Saya percaya peminggiran sastera selama bertahun-bertahun dalam sistem pendidikan merupakan antara penyebab masyarakat di negara ini berkelakuan sedemikian, kurangnya adab dan rasa hormat kepada orang lain.

“Bukan sahaja dari segi pertuturan seharian, malah saya sendiri tidak berani untuk terlalu kerap ke pasar raya kerana sering dilanggar, mungkin kerana saiz tubuh badan yang agak kecil, yang bagi saya sikap individu seumpama ini agak keterlaluan serta tidak menghormat orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog sempena Program Pertemuan Bersama Sasterawan dan Ilmuan Negara anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.

Mohamad berkata pengasingan aliran sastera dan sains tidak berlaku di negara Jepun dan beberapa negara lain yang lebih maju di Barat.

Katanya ungkapan-ungkapan rasa atau ekspresi diri dengan lenggok dan gaya bahasa mengikuti tatasusila budaya masyarakat Malaysia tidak diajar dalam mata pelajaran seperti kejuruteraan, sains atau matematik.

“Oleh yang demikian saya memuji usaha Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk menggabungkan semula aliran sastera dan sains ke arah membentuk generasi yang seimbang, yang lebih berfikir dan menjadi manusia yang lebih baik.

“Seperti yang saya nyatakan tadi, pemisahan dua aliran ini tidak berlaku di Jepun kerana mereka sangat bangga dengan budaya mereka, sastera mereka dan malah Jepun adalah paling tinggi tamadunnya dan paling halus manusianya," katanya yang pernah menjadi pensyarah felo di Jepun.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu