Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 25m ago ]

Tiga sekolah di Kuala Selangor ditutup tiga hari

Tarikh kemaskini: 30/10/2019

SHAH ALAM, 30 Okt -- Tiga buah sekolah di daerah Kuala Selangor, ditutup tiga hari bermula hari ini berikutan bangunan sekolah itu dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, SK Ijok dan SK Pasangan.

"Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah menerima arahan daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Selangor dan bersetuju membuat penutupan tiga buah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara.

"Susulan itu pihak sekolah terlibat perlu mengambil tindakan selaras dengan Surat Pekeliling yang telah dikeluarkan berhubung perkara tersebut," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri turut mengingatkan sekolah berkenaan supaya mematuhi garis panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana, selain mematuhi prosedur operasi standard penutupan sekolah.

Terdahulu, dalam kenyataan Smart Selangor Command Centre (SSCC), empat PPS di daerah Kuala Selangor masih beroperasi setakat pukul 4 petang tadi.

Empat PPS itu ialah SK Parit Mahang yang menempatkan 604 mangsa banjir daripada 167 keluarga; SK Jaya Setia (47 mangsa daripada 16 keluarga), SK Ijok (72 mangsa daripada 49 keluarga) dan SK Pasangan (146 mangsa daripada 49 keluarga).

-- BERNAMA







       Berita Utama Terdahulu