ICC didesak siasat jenayah Israel di Gaza [ 10m ago ]

Program makanan mampu milik bantu tingkat ekonomi di Selangor

Tarikh kemaskini: 03/11/2019
Laporan Khas Oleh Norhidayu Zainal

KUALA LUMPUR, 3 Nov -- Selari dengan tugasnya sebagai Penyelia Pusat Wanita Berdaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya, Zawiah Wan Daud, 55, menyifatkan penyertaannya dalam Skim Berniaga Mikro Nasi Lemak membantu beliau memahami kelebihan teknologi dalam proses penyediaan makanan.

"Jadi, apabila saya sertai skim perniagaan ini, saya hanya perlu membuat tempahan dan segalanya telah disiapkan. Saya hanya perlu memanaskan produk namun kualiti makanan itu tetap terjaga," katanya kepada Bernama.

Zawiah merupakan antara 47 peserta kumpulan pertama di Selangor yang menyertai Skim Berniaga Nasi Lemak di bawah Program Makanan Mampu Milik yang dilancarkan Standard Jubilee Sdn Bhd (In4tec) pada Oktober lepas.

In4tec menjalin kerjasama erat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd berkaitan Ekonomi Digital Islam (IDE) dengan memberi fokus terhadap Teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Halalan Toyyiban dalam bidang pemakanan melalui ‘Handheld Terminal’ serta bayaran digital.

Ketua Pegawai Eksekutif In4tec Loke Lee Sah berkata program berkenaan akan menyokong usahawan yang terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dalam menjana pendapatan melalui suntikan modal, kelengkapan niaga, teknologi, latihan dan sokongan.

"Istimewanya, dalam program ini usahawan yang terlibat hanya berperanan menjual produk mereka yang telah disediakan oleh kami. Kami menyediakan produk secara 'mass production' menggunakan teknologi moden dengan produk kemudiannya disejukbekukan.

"Jadi, setiap usahawan yang terlibat ini hanya perlu membuat tempahan makanan dan mengambil produk mereka di pejabat DUN," katanya yang bercadang untuk memperluaskan program ini ke seluruh negara pada masa akan datang.

Menurutnya, buat masa ini, skim perniagaan yang ditawarkan adalah berasaskan makanan dengan permulaannya adalah nasi lemak dengan pelbagai jenis lauk-pauk selain bihun goreng dan kuih-muih.

Sementara itu, ahli Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor Haniza Talha berkata program itu bertujuan meningkatkan ekonomi warga bandar, khususnya kaum wanita.

Kerajaan Negeri prihatin dengan keperluan rakyat dan cabaran hidup masa kini terutamanya apabila kos sara hidup semakin tinggi berikutan keadaan ekonomi yang kurang rancak.

"Program ini dilihat mampu mengubah taraf ekonomi rakyat Selangor, lebih-lebih lagi dengan sokongan dan bantuan pinjaman mikro oleh Hijrah Selangor," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu